Undi Belah Bahagian: Nak ‘Ajar’ Wakil Kerajaan Biar Ada Rasa Tanggungjawab, Bukan Hasrat Tolak RUU

KUALA LUMPUR, 27 Nov – Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Dr Shamsul Nasarah berkata undian belah bahagian untuk meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan di peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Wanita Dan Pembangunan Masyarakat bukanlah semata-mata untuk menolak RUU berkenaan sebaliknya sebagai pengajaran kepada Ahli Parlimen kerajaan agar benar-benar menjalankan tanggungjawab.

Pada masa yang sama beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO melihat alasan yang diberikan oleh Ahli Parlimen Sungai Petani bahawa mereka keletihan kerana bersidang sehingga larut malam merupakan alasan yang tidak boleh diterima.

“Kita bukan bermaksud untuk menolak RUU berkaitan Kementerian Pembangunan Wanita tetapi sebagai isyarat kepada ahli-ahli Parlimen kerajaan supaya serius dalam melaksanakan tanggungjawab.

“Kerana apa yang berlaku sejak persidangan di Dewan Rakyat ini, telah beberapa kali Ahli Parlimen kerajaan yang bertanggungjawab untuk mencukupkan kuorom di dalam dewan ini tidak melaksanakan dengan baik.

“Pada waktu kerajaan Barisan Nasional (BN) dahulu, kita pernah bersidang sampai jam 1 pagi, 4 pagi dan sebagainya tetapi kita tetap tunggu kerana ianya tanggungjawab kepada rakyat. Jadi alasan yang diberi oleh Ahli Parlimen Sungai Petani ianya tidak boleh diterima,” katanya kepada UMNO Online, di lobi parlimen, di sini hari ini.

Tegas Dr Shamsul Anuar lagi, begitu juga hampir majoriti menteri boleh dikatakan tiada di dalam dewan dan seolah-olah tidak melihat kepada teguran daripada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai perkara berkenaan sebelum ini.

“Maknanya mereka tidak mematuhi dan menjayakan mandat yang rakyat berikan kepada mereka dan tindakan mereka adalah seolah-olah tidak serius untuk mempertahankan RUU Perbekalan yang dibawa di Dewan Rakyat.

“Sebab itu kita sekali lagi bertindak semalam untuk memberi peringatakan kepada kerajaan supaya serius… semalam seolah-olah tidak serius. Hampir majoriti menteri tidak ada dan juga wakil-wakil rakyat,” ujarnya lagi

Dilaporkan, malam tadi blok pembangkang meminta diadakan undian belah bahagian untuk meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan di peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Wanita Dan Pembangunan Masyarakat sehinggakan ada Ahli Parlimen PH yang ber’jogging’, berlari dan ada yang salah masuk pintu Dewan apabila loceng dibunyikan.

Sewaktu proses pengiraan undi untuk menyokong atau menolak rang undang-undang itu pada 9 malam, Ahli Parlimen daripada kem kerajaan dan pembangkang bangun, bertekak dan menjerit mempersoalkan kuorum blok masing-masing.

Loceng terpaksa dibunyikan bagi memanggil Ahli Parlimen masuk ke dewan sebelum Speaker Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof membacakan keputusan bahawa usul itu diterima selepas lebih suara yang menyokong berbanding yang menolak.

Pada Khamis lepas, Dr Mahathir sekali lagi telah menegur sebilangan Ahli Parlimen yang tidak menghadiri persidangan Dewan Rakyat sekali gus memberi gambaran seolah-olah mereka tidak berminat untuk berkhidmat kepada rakyat. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.