Kereta Terbang: Menteri PH Lagi ‘Hebat’ Dari Syarikat Gergasi Tesla, SpaceX

KUALA LUMPUR, 19 Nov – Exco Pemuda UMNO Malaysia Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris dengan sinis berkata menteri kabinet Pakatan Harapan (PH) ternyata lebih ‘hebat’ kerana mampu menyiapkan kereta terbang dalam masa yang singkat.

Ini kerana ujarnya, di Amerika Syarikat, Elon Musk pemilik kepada syarikat gergasi Tesla dan SpaceX masih bergelut untuk menyiapkan prototaip kereta terbang terutama sekali apabila melibatkan aspek teknologi, keselamatan, kos dan keperluan.

“Seluruh rakyat Malaysia tak sabar nak tengok kereta terbang kebanggaan menteri PH ni.

“Ketika negara lain sibuk membangunkan pengangkutan awam yang lebih efektif, menteri PH sibuk dengan kereta terbangnya,” bidasnya dalam satu hantaran di Facebook.

Semalam di Dewan Rakyat, Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof berkata sesi pandu uji kereta terbang pertama negara dijangka dilakukan pada Khamis ini, di Subang yang akan dipandu ujinya sendiri.

Apapun ujar Dr Najmil, beliau mengucapkan penghargaan terima kasih kepada usaha Redzuan yang juga dikenali sebagai Pak Wan tersebut dengan harapan rakyat tidak lagi menempuh kesesakan jalan raya terutama di musim perayaan.

“Apa pun terima kasih Pak Wan tahun depan rakyat Malaysia tak perlu hadap jem di musim perayaan,” tambahnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.