Rakyat Lihat Muafakat Nasional Sebagai Ombak Baharu, Gentarkan PH

TANJUNG PIAI, 12 Nov – Rakyat telah melihat agenda penyatuan ummah melalui Muafakat Nasional merupakan satu ombak yang baharu, ujar Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan.

Di samping itu, Mohamad juga mengingatkan kepada beberapa pihak supaya jangan khuatir dengan tawaran yang dicetuskan oleh dua parti Melayu, Islam yang terbesar UMNO dan PAS itu.

“Jangan risaulah. Yang risaunya penyatuan ummah ini adalah parti-parti dalam Pakatan Harapan (PH) terutama Pan dan Bersatu. Jika UMNO dan PAS berpakat, dia hanyut sebab dia menang dulu sebab tiga penjuru.

“Kita sekarang pandang ke hadapan, jangan pandang ke belakang. Dia akan mengadu-domba kita, akan keluarkan kenyataan khabarkan bahawa penyatuan ummah ini adalah pertandingan berlumba untuk masuk neraka.

“Apa punya menteri agama macam tu? Patut menteri agama lagi baik melihat orang hendak bersatu padu inilah adalah sejajar dengan kehendak agama. Dia ingat dia jadi menteri agama dia ada tiket percuma nak masuk syurgakah? Soalnya dalam ceramah umum di Pusat Daerah Mengundi Teluk Kerang, Isnin malam.

Hadir sama Timbalan Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim; Ketua UMNO Bahagian Pagoh, Ismail Mohamed; Pengarah Pilihan Raya MCA Johor, Senator Lim Pay Hen; Ketua Perhubungan MCA Kelantan, Chua Hock Chuan; Pesuruhjaya PAS Johor; Abdullah Husain dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Pasir Kapten (B) Najib Lep.

Sebelum itu, calon BN Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng dalam kepadatan jadualnya, turut berpeluang hadir.

Jelas Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO, Muafakat Nasional umpama sebuah pokok yang baharu ditanam dan perlu dijaga dengan sebaik-baiknya.

“Pokok yang hendak kita tanam ini baru tumbuh, mari kita siram sama-sama supaya tumbuh pokok perpaduan Muafakat Nasional dengan subur, rendang supaya dapat kita teduh daripada hujan panas ribut petir.

“Kalau ada buah nanti kita makan sama. Ini pokok baru nak tumbuh dah cakap nak makan buah. Yang pentingnya PH mesti ditewaskan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15). Itu matlamat kita,” tambahnya.

Ulasnya juga, pencalonan Dr Wee sebagai wakil BN dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai merupakan signal yang amat kuat kepada rakyat Malaysia yang berbilang kaum bahawa UMNO dan PAS tidak rasis seperti mana yang digelar oleh Setiausaha Agung Dap, Lim Guan Eng.

Justeru katanya, Wee merupakan pilihan tepat bagi rakyat Tanjung Piai.

“Kita berkehendakkan wakil rakyat yang memberikan perkhidmatan yang baik. Tidak guna kita memilih orang yang suka berjanji tapi tidak buat apa-apa.

“Walaupun orang kata Wee Jeck Seng boleh buat apa sebagai pembangkang tetapi ia akan tambah suara di Parlimen untuk menekan kerajaan, membawa suara rakyat di Parlimen.

“Dan kita hendak pastikan kerajaan supaya jangan terus membisu tidak menunaikan janji-janjinya,” tegasnya lagi.

Katanya juga, semangat kemenangan BN dari Cameron Highlands, Semenyih dan Rantau hendaklah diterjemahkan di Tanjung Piai. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.