PRK Tanjung Piai: Dakwaan Kempen PH Tidak Logik, Sekadar Kelirukan Pengundi – Wee Ka Siong

 

KUALA LUMPUR, 12 Nov – Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong melihat pelbagai dakwaan yang dibangkitkan oleh pimpinan Pakatan Harapan (PH) sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai bukan sahaja tidak masuk akal malah hanya sekadar ingin mengelirukan pengundi.

Menurut beliau pandangan mereka yang mengatakan jika tidak mengundi PH bermakna sia-sia slogan mahu ubah adalah satu cubaan untuk memperdayakan pengundi semata-mata.

“Mereka boleh buat apa sahaja agenda reformasi dan PRK kali ini tidak akan mengubah kedudukan kerajaan dan keduanya tidak mengganggu kestabilan politik, ketiga mereka kata seolah-olah ‘regim lama’ akan kembali. Apa yang akan kembali… kerajaan sekarang yang ada sudah mempunyai 120 lebih kerusi… jauh lebih yang diperlukan 112 kerusi.

“Satu kerusi memang tidak akan menjejaskan kedudukan kerajaan pada hari ini… ada pula yang mengatakan kalau tidak mengundi calon PH bermaksud sia-sia sahaja slogan kita nak ubah..

“Mereka kata agenda untuk membawa perubahan atau reformasi ini segala-galanya akan hancur… eh, apa punya logik ini… kalau itulah yang dikatakan oleh mereka, saya rasa ianya cubaan untuk memperdayakan pengundi di Tanjung Piai,” katanya kepada media di lobi Parlimen, di sini, hari ini.

Wee Ka Siong yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam seterusnya berpandangan PRK Tanjung Piai akan menentukan wakil rakyat kawasan berkenaan.

“Ini cuma PRK yang akan menentukan wakil rakyat Tanjung Piai sahaja dan sekali saya tegaskan kedudukan kerajaan tidak akan tergugat… apa pula mereka kata agenda pembangunan tidak boleh dilakukan….

“Saya tidak tahulah logik apa kecualilah kalau mereka sudah dapat agak kalaulah kali ini BN menang maka dalam PH akan hancur berkecai… mereka bergaduh sesama sendiri. Itu saya tidak mahu tahu… tidak mahu jaga tepi kain orang,” ujarnya lagi.- UMNO ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di linktr.ee/umno #UMNOBangkit