PH Perlu Kreatif Kempen Minyak Sawit Di Peringkat Antarabangsa

KUALA LUMPUR, 12 Nov – Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin membuat teguran kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) berhubung kempen minyak sawit di peringkat dunia dan mengharapkan ianya dibuat secara kreatif.

Dalam perbahasannya di Dewan Rakyat, beliau berkata kempen mengenai perkara tersebut perlu dibuat secara yang terbaik agar dapat menarik perhatian.

“Harap kempen di peringkat dunia dapat dibuat secara kreatif. Saya bagi teguran kempen yang dijalankan setakat ini sangat-sangat tidak kreatif dengan pendekatan yang agak lama, pendekatan yang tidak dapat menarik perhatian.

“Jadi saya harap kementerian dapat perkhidmatan yang terbaik sebab penembusan kita terhadap pasaran dunia yang semakin canggih dengan lobi mereka… ini perkara yang serius,” katanya.

Dalam perbahasannya itu juga, Khairy turut melahirkan rasa ingin tahu berkaitan perancangan kementerian berhubung kempen berkenaan yang mendapat peruntukan yang besar.

“Saya dan beberapa ahli Parlimen yang lain yang sudah bahas ingin bangkitkan perkara ini kerana kita melihat kempen ini sangat penting untuk memperbetulkan tanggapan yang negatif terutama di peringkat dunia berkenaan minyak sawit terutama minyak sawit yang datang daripada Malaysia.

“Peruntukan untuk tahun depan adalah RM27 juta. Saya ucapkan tahniah kerana dapat peruntukan yang besar cumanya di sini saya ingin tahu apakah perancangan perbelanjaan duit tersebut.

“Harap timbalan menteri dapat betul-betul lihat perkara ini… mungkin dapat menjawab sedikit bagaimana perancangan duit ini akan digunakan untuk melancarkan satu kempen yang bertaraf antarabangsa untuk memperbetulkan persepsi,” ujarnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.