PH Peningkan Rakyat, Malaysia Baharu Semakin Pelik – Razali


TANJUNG PIAI, 12 Nov – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Razali Ibrahim berkata satu perkara yang sangat pelik dalam menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai apabila Pengerusi Dap Johor, Liew Chin Tong diumum untuk mewakili kaum Cina jika calon Pakatan Harapan (PH) menang.

Katanya, tawaran yang diberikan oleh Setiausaha Agung Dap, Lim Guan Eng kepada Chin Tong amat pelik dan tidak masuk akal.

“Peliklah… sepatutnya PH mengumumkan beliau menjadi calon PRK Tanjung Piai. Inilah antara bukti bahawa PH mempunyai masalah sesama sendiri dari segi kepercayaan dan mereka (PH) mengunjurkan suatu pemisahan kaum.

“Orang Cina Tanjung Piai diminta mengundi seseorang yang tidak bertanding dalam PRK, tapi jika calon PH menang, Chin Tong yang akan menjadi wakil,” katanya ketika berucap dalam majlis perjumpaan bersama rakyat di Bilik Gerakan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Tenggayun, Pekan Nenas, malam tadi, di sini.

Hadir sama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad; Ahli MKT UMNO, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Khaidiriah Abu Zahar, Ketua UMNO Bahagian Balik Pulau, Datuk Shah Headan Ayoob Hussain Shah dan Penceramah bebas Mohd Zamri Mohd Zainudin.

Razali menambah Malaysia baru hari ini banyak perkara-perkara yang dibuat menimbulkan rakyat semakin pening termasuklah hasrat melantik wakil kepada masyarakat Cina iaitu Chin Tong yang merupakan Senator dan juga Timbalan Menteri Pertahanan. Beliau kalah pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

“Pada saya yang lebih penting BN meletakkan calon dari MCA, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng dan beliau bukannya mewakili satu kaum malah semua rakyat. Kita tidak perlu ada wakil mengikut kaum.

“Kalau yang menang ini BN maka tugas ia adalah menjaga semua pengundi di Tanjung Piai. Insya Allah … beliau akan menjaga semua penduduk tidak kira agama, bangsa dan sebagai wakil rakyat yang akan membawa suara mereka ke Dewan Rakyat,” ujarnya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.