PH Kerajaan ‘Hopeless’, PRK Tanjung Piai Akan Jadi Lambang Kekecewaan Rakyat


TANJUNG PIAI, 12 Nov – Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, sambutan hangat pelbagai bangsa terhadap kempen Barisan Nasional (BN) di PRK tersebut adalah satu referendum rakyat yang menggambarkan rasa kecewa dengan pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Jelas beliau, fenomena ini disebabkan rakyat mula merasa kerajaan yang ada hari ini adalah kerajaan ‘hopeless’.

“Sambutan hangat yang kita lihat di Tanjung Piai bukanlah semata-mata kerana gerak kerja jentera tetapi ia adalah kebijaksanaan rakyat menunjukkan rasa kecewa.

“Kita tidak ada wang, tidak ada kuasa… gerak kerja kita bersifat gerakan rakyat. Rakyat yang datang sebegitu ramai memberi sokongan, menggambarkan satu hasrat rakyat memperaga dan mempamerkan perasaan mereka terhadap suasana politik kerana mereka mahu tunjuk bahawa banyak perkara yang kerajaan lakukan hari ini tidak disenangi rakyat.

“Saya rasa ini satu fenomena kerana rakyat merasakan pentadbiran kerajaan hari ini satu ‘hopeless’ sehinggakn rakyat tawar hati,” ujar beliau.

Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata demikian ketika menjadi tetamu jemputan dalam segmen PRK Tanjung Piai yang mengupas isu ‘BN Tawaran Terbaik Untuk Pengundi Tanjung Piai’ yang disiarkan secara langsung melalui facebook UMNO-Online malam tadi.

Jelas Annuar, sekiranya dilihat dengan baik, PH sebenarnya tidak mempunyai sebarang kelebihan misalnya mereka tidak dapat menyembunyikan perpecahan yang berlaku antara PPBM dan Dap.

“Ini diakui sendiri oleh Menteri Besar Perak dalam video yang tersebar baru-baru ini malah bukan itu sahaja, mereka juga tidak dapat menyembunyikan kelemahan-kelemahan pucuk pimpinan dan menteri yang buat kenyataan menjengkelkan rakyat.

“Kadang-kadang saya tengok PH ini masih dalam sindrom penafian lagi… dengan Malaysia Baru, mereka merasakan cukup berjaya… terus menyindir kerajaan lama kononnya selama 62 tahun buat kerosakan… ini semua tidak dapat diterima rakyat lagi,” tegas beliau.

Ketika ditanya adakah BN tidak bimbang meletakkan calon MCA mewakili BN di PRK ini sedangkan ramai yang mahukan calon UMNO ujar Annuar, parti sebenarnya tidak terlalu memikirkan situasi ini kerana calon yang dipilih adalah atas dasar semangat BN.

“Lagipun sekarang ini bukan soal mengundi calon BN tetapi adalah untuk menolak kerajaan PH,” ujar beliau lagi.

PRK Parlimen Tanjung Piai diadakan susulan kematian wakil rakyatnya Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, daripada PH pada 21 Sept lepas akibat komplikasi jantung.

Ia melibatkan pertandingan enam penjuru antara calon BN Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng; calon PH Karmaine Sardini; calon Gerakan Wendy Subramaniam; Presiden Parti Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa) Datuk Dr Badrulhisham Abdul Aziz serta dua calon Bebas, Dr Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar.- UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.