Lantik Wakil Cina…. Dap Tamak, Tak Yakin Sekutu Sendiri – Reezal


TANJUNG PIAI, 12 Nov – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menempelak sikap Dap yang tamak walaupun terhadap rakan sekutunya sendiri.

Reezal memberi reaksi demikian apabila ditanya mengenai tindakan Setiausaha Agung Dap, Lim Guan Eng yang mahu melantik Pengerusi Negeri Johor Liew Chin Tong sebagai wakil untuk masyarakat Cina di Tanjung Piai sekiranya calon Bersatu yang diwakili Karmaine Sardini menang di dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan tersebut.

“Seolah-olah tidak meyakini Bersatu itu boleh mewakili semua suara, bukan hanya kepada kalangan Melayu.

“Berbeza dengan kita UMNO, yang memutuskan bahawa tempat ini calonnya dari MCA adalah Presiden UMNO juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Dan ia dipersetujui di dalam MKT secara persefahaman bersama MCA dan juga MIC,” katanya kepada UMNO Online ketika ditemui setelah selesai mengadakan ziarah kasih di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Pengkalan Raja Pontian, di sini Isnin petang.

Ulas lanjut, Reezal yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas berkata walaupun keputusan dibuat secara konsensus, pengerusinya adalah daripada Presiden UMNO dan orang yang pertama menyokong adalah PAS.

“PAS menyatakan sokongan bulat kepada calon MCA. Itu bererti selama ini yang mengatakan bahawa Muafakat Nasional ini akan melahirkan bibit-bibit, sentimen-sentimen perkauman yang tebal sama sekali ditolak dan meleset.

“Dan ternyata ia adalah suatu dakyah palsu yang hari ini sukar hendak dipertahankan oleh Guan Eng sendiri,” bidasnya lagi.

Berhubung dengan peluang BN untuk memenangi PRK Tanjung Piai, Reezal berharap rakyat melakukan perubahan setelah melihat PH yang gagal berfungsi sebagai kerajaan.

“Harapan saya tanpa niat mahu mendabik dada, dalam mana-mana pertandingan pilihan raya apa-apapun kita suka ambil pendekatan yang ‘under dog’.

“Pada akhirnya saya mendoakan 16 Nov ini hati-hati rakyat dan penduduk di Tanjung Piai dibuka kerana mereka sudah lihat banyak kepalsuan, kemungkaran, ketidakupayaan dan kecelaruan oleh PH.

“Juga yang paling penting adalah kehidupan rakyat yang selama ini tidak terbela, mungkin dapat perhatian bila mana kita melakukan perubahan dan perubahan itu bermula di Tanjung Piai,” katanya. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79