BN Kalah PRU14 Sebab Fitnah, Janji Palsu PH… Bukan Tuduhan Korupsi – Mohamad


TANJUNG PIAI, 12 Nov – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menolak tuduhan sesetengah pihak yang mengatakan Barisan Nasional (BN) kalah pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu disebabkan amalan korupsi kerana parti tidak pernah berkompromi kepada mereka yang melakukannya.

Bidasnya, BN kalah kerana terlalu banyak fitnah dan janji-janji yang dilemparkan oleh pihak lawan.

“Semua pemimpin besar UMNO bila ada kes, kena letak jawatan dan bila didapati bersalah akan diambil tindakan oleh mahkamah. Tidak adil jika anda mengatakan BN kalah disebabkan korupsi.

“Kami kalah kerana banyak fitnah yang dilemparkan dan janji-janji yang tak masuk akal. Rakyat terpedaya dengan segala janji tersebut.

“Siapa yang tak nak tol percuma? Siapa yang tak nak harga minyak turun RM1.50? Siapa yang tak nak PTPTN tak kena bayar lagi. Selepas ini kita tengok, rakyat dah tahu siapa sebenarnya Pakatan Harapan (PH). Rakyat dah tahu apa belang PH,” katanya kepada media selepas ceramah umum di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Teluk Kerang, Isnin malam.

Tegasnya lagi, isu korupsi juga terpalit ke atas PH tetapi tiada tindakan yang dikenakan.

“Sekarang ini pun kita tengok kenapa tidak ambil tindakan kepada pemimpin PH, banyak kena dakwa.

“Mengapa tidak teruskan kes terowong? Soalnya lagi.

Berhubung dengan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, yang diperintah membela diri selepas pihak pendakwa raya berjaya membuktikan wujud kes prima facie bagi kesemua tujuh pertuduhan membabitkan penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd., Mohamad bersikap positif.

“Sekarang peluang Datuk Najib bawa saksi-saksi pembelaan untuk memberikan keterangan dan juga bukti-bukti yang mana di situ nanti bukti-bukti atau keterangan dari pihak pembelaan akan dapat membantu Datuk Najib dalam kesnya.

“Datuk Najib sendiri pun akan ditanya, disoal sebagai saksi yang pertama dan di situ Datuk Najib boleh menerangkan keadaan kerana hakim membuat keputusan berasaskan kepada saksi-saksi pihak pendakwaan.

“Memang saksi pendakwaan akan menekan dan juga menyatakan Datuk Najib bersalah,” tambahnya.

Mohamad yang lebih dikenali sebagai Tok Mat juga yakin keputusan yang berlaku ke atas Najib itu tidak mengubah pola pengundian di Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai.

“Saya yakin pengundi di Tanjung Piai sebelum penamaan calon dah buat keputusan. Rakyat di Tanjung Piai telah tetapkan di fikiran mereka.

“Anda boleh kata apa yang suka dan mahukan tetapi perubahan undi mungkin lebih kurang dalam dua ke tiga peratus tetapi hakikatnya rakyat dah pun ada pilihan. Dia dah buat keputusan siapa yang hendak dipilih pada PRK di Tanjung Piai,” katanya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.