UMNO Beri Ruang, Tidak Akan Jarakkan Diri Dari Najib – Zahid

 

KUALA LUMPUR, 11 Nov – Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti tidak akan sama sekali menjarakkan diri dengan sesiapa sahaja yang ingin membantu UMNO berkempen di mana-mana Pilihan Rakya Kecil (PRK) walaupun mereka terlibat dengan kes mahkamah.

Jelas beliau, kes mahkamah adalah isu peribadi dan ia tidak ada kena-mengena dengan parti.

“Tidak sedikit pun perasaan itu (mahu menjarakkan diri). Kes mahkamah tidak ada kena mengena dengan pilihan raya kecil dan kami rasional bahawa semangat dan sokongan para pengundi itu tidak terpengaruh dengan isu di mahkamah kerana mereka mengetahui perbicaraan itu dibuat mengikut proses undang-undang.

“… sambutan kepada Datuk Seri Najib masih luar biasa di Tanjung Piai… jadi sesiapa yang mahu membantu parti kita akan beri ruang secukupnya,” ujar beliau kepada media di lobi Parlimen hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya media adakah UMNO akan menjarakkan diri daripada Datuk Seri Najib berikutan keputusan mahkamah hari ini memerintahkan beliau membela diri.

Bekas Perdana Menteri itu hari ini diperintah membela diri selepas pihak pendakwa raya berjaya membuktikan wujudkan kes prima facie bagi kesemua tujuh pertuduhan membabitkan penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Keputusan tersebut diumumkan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali kira-kira pukul 11.30 pagi.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan diperintah membela diri bagi tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan salah guna kuasa berkaitan dengan dana itu. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.