Sogokan Undi: SPR Perlu Buktikan ‘Berkecuali’… Tegas, Saksama – Wan Rosdy


TANJUNG PIAI, 11 Nov – Isu-isu sogokan undi, taburan janji dan perbuatan yang menyalahi Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 semakin ketara terutama sejak Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands, Semenyih, Rantau dan kini melarat ke Tanjung Piai.

Bermula pemberian ‘duit minyak’ kepada ‘sukarelawan’ Orang Asal hinggalah terbaru kad sim prabayar Celcom yang diberi percuma oleh sebuah parti yang bertanding jelas memperlihatkan pihak yang menyogok tidak mengendahkan etika berkempen dan juga seolah-olah pihak berkuasa serta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak mampu mengambil tindakan yang tegas kepada mereka walaupun wujud laporan dan bukti kukuh.

Justeru, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menggesa SPR dan pihak berkuasa mengambil tindakan tegas serta saksama tanpa berpihak bagi mengekang perbuatan tersebut.

“Kita kena bagi kebebasan bagi pengundi untuk menentukan siapakah calon yang mereka pilih, yang sesuai untuk menjadi wakil dan diberi hak untuk mengundi tanpa rasa bimbang, takut dan sebagainya. Inilah demokrasi yang seharusnya kita amalkan.

“Jadi sekiranya ada unsur-unsur yang bertentangan dengan akta pilihan raya seperti bagi bantuan semasa mengundi atau bila dah hampir dengan pilihan raya kecil sebelum itu tidak ada apa-apa tiba-tiba ada bantuan.

“Kita lihat ini suatu yang tidak sihat. SPR perlu menjalankan siasatan dan sekiranya benar-benar berlaku, tindakan seharusnya diambil,” katanya kepada UMNO-Online ketika ditemui baru-baru ini ketika selesai ziarah kasih di Taman Hidayat 1, Pekan Nanas di sini.

Berhubung dengan tindakan SPR yang lebih menekankan kesalahan kecil yang dilakukan oleh BN seperti menampal bahan kempen di tiang elektrik berbanding ucapan berunsur kebencian kaum seperti yang dikeluarkan oleh Menteri Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub walaupun telah mempunyai enam laporan polis, Wan Rosdy yang juga Menteri Besar Pahang berpandangan ia tidak sepatutnya berlaku.

“Ini tidak sepatutnya berlaku kerana SPR perlu berkecuali dan mereka juga harus melihat ke semua calon dan parti yang mengambil bahagian bertanding di PRK ini.

“Tidak hanya melihat kepada satu pihak dan tidak melihat kepada pihak yang lain kerana saya dapati di bawah telah ada cakap-cakap yang rasa kurang senang dan sebagainya tetapi yang perlu lihat perkara ini, yang boleh lebih menjalankan siasatan ialah SPR.

“Jadi saya harap setiap aduan ataupun apa jua yang dibangkitkan oleh parti-parti yang bertanding, perlu disiasat tak kiralah sama ada dari parti A ker, B ker, C ker, D ker semua harus mereka siasat dan sekiranya ada kesalahan mereka mungkin boleh memberi amaran supaya perkara ini tidak berlaku lagi,” tegasnya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.