PH Nafi Jasa BN, Lima Belas Bulan Apa Yang Dia Dah Buat? Soal Ku Li


TANJUNG PIAI, 11 Nov – Dimulai dengan perjuangan dan pewujudan sebuah bangsa yang merdeka hinggalah membangunkan negara ke tahap maju dan disegani adalah bukti yang jelas sumbangan UMNO dan Barisan Nasional (BN) selama ini, tegas Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li).

Begitu juga katanya, satu perkara yang tiada sesiapa boleh menafikan ialah keupayaan BN menjaga keselamatan, keamanan dan perpaduan rakyat di negara ini, yang tidak boleh nilai dengan wang ringgit.

Tambah Ahli Parlimen Gua Musang itu lagi, pelbagai usaha telah pemimpin-pemimpin terdahulu jayakan sejak sebelum kemerdekaan negara demi kebaikan rakyat yang akhirnya dapat dikecapi nikmat oleh semua.

“Tiba-tiba datang parti ‘hancing’ (Pakatan Harapan-PH) ini dia kata kita belum buat apa-apa, nak hancurkan negara. Apa dia dah buat sejak lima belas bulan yang lalu berkelahi sesama dia, janji bohong, tolak kita sebagai kerajaan di negeri dan pusat tetapi tidak dapat mengawal kehidupan rakyat.

“Harga barang masih naik, ringgit masih turun, ekonomi merudum, tak nampak tanda-tanda yang boleh memulihkan kedudukan ekonomi dan pekerjaan anak muda tidak dapat diwujudkan kerana orang luar tak mahu melabur di Malaysia kerana nilai ringgit semakin mengecut.

“Perbuatan siapa? Bukan perbuatan kita. Harga kelapa sawit menjunam jatuh kerana China, India tak nak beli walau sudah tandatangan perjanjian kerana mulut celupar. Tidak pula (PH) hendak bela kedudukan rakyat kita,” bidasnya ketika berucap di dalam majlis perjumpaan bersama rakyat di Bilik Gerakan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Ladang Sungai Burung, Pekan Nenas, di sini Ahad malam.

Hadir sama Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad; Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Halimah Mohamed Sadique; Penolong Setiausaha Pemuda UMNO Malaysia, Rais Yasin dan Pesuruhjaya PAS Johor, Abdullah Husain.

Sebelum itu, calon BN Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng dalam kepadatan jadualnya, turut hadir beramah mesra bersama penduduk.

Ku Li turut mengulas mengenai sikap PH yang suka memberikan harapan dan janji kepada rakyat tetapi tidak mahu menunaikannya.

“Kalaulah perkara ini berlarutan, selama mana kita hendak dengar dia berjanji. Pilihan raya ini akan datang dia akan janji lagi dan apakah kita akan ikut apa yang diperkatakan oleh mereka.

“Sekali janji cukuplah… kalau dah bohong dia tak boleh baiki. Tetapi kita sejak tahun 1955 telah tunaikan setiap dari apa dijanjikan kita lakukan. Kita telah kalahkan komunis, kita telah berjaya menubuhkan Malaysia mengajak Sabah, Sarawak dan Singapura pada satu ketika untuk bersama dengan kita menjadikan sebuah negara yang maju dan telahpun jayakan ini.

“Semua ini telah kita lakukan menguji kekuatan ketahanan diri kita menghadapi musuh-musuh negara dan rakyat bersatu hati hendak menjaga kedaulatan negara kita,” tambahnya.

Menyentuh mengenai PRK Tanjung Piai yang menjadi tumpuan seluruh rakyat negara ini, Ku Li berharap pengundi di Tanjung Piai memilih BN, kerana ia mampu menjadi signal yang jelas rakyat sudah tolak kerajaan PH.

Ku Li juga berkata dengan kekuatan dan kesepaduan yang ada pada BN, BN mampu kembali menjadi kerajaan tanpa melibatkan diri serta menjadi tali barut parti-parti kerajaan yang sekarang ini berebut tahta. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.