Kes Najib Tidak Akan Beri Kesan Kempen BN Di PRK Tanjung Piai

 

KUALA LUMPUR, 11 Nov – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan mahkamah hari ini yang memerintahkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membela diri tidak akan memberi kesan kepada kempen di Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai.

Jelas beliau, ini kerana ia berbeza dengan situasi semasa khususnya di Tanjung Piai itu sendiri.

“Isu yang menjadi tumpuan kini adalah berkaitan kepentingan rakyat seperti contoh di Tanjung Piai adalah isu masyarakat luar bandar yang terlibat dengan perikanan sebab nelayan ramai dan isu pekebun kecil.

“Jadi isu mereka adalah isu yang melibatkan sara hidup, maka saya percaya ia tidak akan beri kesan kepada PRK Tanjung Piai,” ujar beliau kepada media di lobi Parlimen hari ini.

Ketika ditanya media adakah UMNO akan menjarakkan diri daripada bekas Presiden UMNO itu jelas Ismail, tidak timbul perkara sebegitu kerana apa yang menimpa Najib adalah isu peribadi.

“Saya percaya UMNO tidak akan menjarakkan diri kerana ia isu peribadi. Daripada awal lagi Datuk Seri Najib sudah tegaskan beliau tidak akan melibatkan UMNO.

“Namun sebagai bekas Presiden parti dan bekas perdana menteri, UMNO akan terus bagi sokongan moral kepada beliau untuk menghadapi kes ini,” tegas beliau.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan diperintah membela diri bagi tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan salah guna kuasa berkaitan dengan dana itu. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.