Dap Parti Pendendam, Kepakaran ‘Tanam Tebu Di Bibir’ – Chua

TANJUNG PIAI, 11 Nov – Ketua Perhubungan MCA Negeri Kelantan, Chua Hock Kuan berkata kepakaran Dap hanya pandai menanam tebu di bibir dan ramai rakyat terutamanya masyarakat Cina termakan hasutan mereka.

Jelas beliau, berhubung isu Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) sebenarnya ia telah dimanipulasi oleh Dap ketika era kerajaan Barisan Nasional (BN) kerana pemilik sijil perlu mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan lulus mata pelajaran Bahasa Malaysia dan Sejarah sebagai syarat untuk mengiktiraf sijil tersebut.

“Dap ini ibarat menjual minyak, maka orang-orang Cina membelinya. Dap ini hanya berjanji di kawasan penduduk Cina saja dan ramai yang tertarik apabila Pakatan Harapan (PH) berkata ‘menang hari ini, esok akan lulus UEC tanpa syarat’ dan dipersetujui dalam hitam putih oleh PH.

“Begitu juga hasrat Dap hendak hapuskan status Bumiputera dan bukan Bumiputera serta ingin jadikan negara ini sebagai negara ‘Malaysian’ dan peruntukan sekolah-sekolah Cina akan ditambah,” katanya semasa Ceramah Umum di Taman Rambah, malam tadi, di sini.

Turut hadir, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Tan Sri Noh Omar; Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Halimah Mohd Sadique; Ketua Penerangan Pemuda UMNO Perak, Mohamad Shafiq Fadly; Pengerusi Kampung Rambah, Rejab Tasrip dan penduduk setempat.

Tambahnya lagi, sekarang ini penyokong Dap menjadi angkuh kerana mempunyai Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang sentiasa bersikap rasis.

“Tidak perlu adanya menteri Cina perangai macam dia (Guan Eng),” bidasnya lagi.

Dap juga katanya adalah sebuah parti yang pendendam dan suka memfitnah pihak lawannya.

“Dap ini pendendam serta memburukkan MCA, mereka nak jadi pemimpin negara dari dulu lagi. Hari ini sudah menjadi kerajaan pun tidak mahu lepaskan MCA.

“Dap tak boleh hidup bersama MCA. Dia (Dap) boleh hidup kerana memfitnah macam-macam kepada MCA,” tambahnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.