PRK Tg Piai: BN Di Tahap Terbaik Tumbangkan PH, Kerajaan Yang Gagal Bela Rakyat

TANJUNG PIAI, 10 Nov- Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata Barisan Nasional (BN) turun dengan sepenuh kekuatan bagi memastikan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) P165 Tanjung Piai, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng memenangi PRK ini.

Jelas beliau, kesiapsiagaan jentera BN di semua peringkat berjalan dengan lancar dan kini berada dalam tahap terbaik untuk merampas kembali kerusi Parlimen Tanjung Piai ini.

“Dari pemerhatian yang dilakukan jentera BN semua peringkat baik dari Pusat, Negeri, Bahagian dan Cawangan nampak berjalan dengan tersusun sebagaimana yang kita sasarkan. Ini memberikan petanda yang baik bagi kita.

“Dalam tempoh beberapa hari menjelang hari mengundi, saya harap supaya semua jentera BN tingkatkan lagi usaha untuk memastikan seluruh pengundi dan penyokong calon BN dapat dibawa keluar untuk mengundi pada 16 November.

“Ini penting supaya kita dapat mencipta kemenangan bergaya dan merampas kembali kerusi Tanjung Piai,” katanya kepada UMNO-Online, di sini.

Sementara itu, menurut Dr Shamsul yang juga Ahli Parlimen Lenggong, kerajaan Pakatan Harapan (PH) harus menerima hakikat bahawa PH adalah kerajaan yang gagal mengurus tadbir kerajaan sebagaimana sepatutnya.

“Saya percaya rakyat telah melihat dan boleh menilai bagaimana kerajaan hari ini gagal berfungsi sebagai kerajaan yang baik membela rakyat. Mereka gagal menyelesaikan isu kemiskinan, menyelesaikan isu kenaikan kos sara hidup dan juga gagal menangani banyak isu berkaitan kehidupan rakyat yang berlaku pada hari ini.

“Ini semua menimbulkan rasa tidak puas hati rakyat dan saya harap rakyat akan terjemahkan rasa kecewa mereka dalam bentuk undi kepada calon BN pada PRK ini,” katanya lagi.

Tambah Dr Shamsul lagi, walaupun PRK ini tidak akan mengubah kerajaan, namun kemenangan BN penting sebagai isyarat jelas kepada kerajaan hari ini bahawa rakyat kecewa dengan mereka dalam banyak perkara.

“Rakyat Tanjung Piai jangan lagi memberi sokongan kepada kerajaan PH… kerana PH tidak mampu dan berkebolehan untuk menyelesaikan masalah. Lihat calon mereka (PH) pun mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang tidak menyakinkan.

“Ini dengan sendiri memperlihatkan bahawa kerajaan PH benar-benar kerajaan yang tidak menyelesaikan isu rakyat,” tegasnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.