Negara Semakin Haru-Biru, PH Cuba Robek Asas-asas Negara – Dr Asyraf

TANJUNG PIAI, 10 Nov – Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata rakyat perlu bertanya pimpinan Malaysia Baru apa sudah jadi dengan keadaan negara yang semakin bercelaru.

Jelas beliau, kerajaan Pakatan Harapan (PH) menjadi punca utama yang menyebabkan negara ini menjadi haru-biru kerana mahu merobek asas-asas pembentukan negara.

“Inilah kerajaan haru-biru…dahlah janji tidak ditunaikan tetapi satu persatu asas-asas negara kerajaan PH merobek dan cuba meruntuhkannya.

“Terdapat empat asas yang penting untuk negara yang perlu dihormati iaitu kedudukan Islam, Bumiputera Melayu, Raja-raja Melayu dan Bahasa Melayu sebagai akar,” katanya dalam ucapan Majlis Ceramah Perdana Maulidur Rasul di BN Melaka dan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Pekan Nenas, Sabtu malam, di sini.

Turut hadir Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, Pengerusi UMNO Negeri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, Pengerusi UMNO Negeri Johor, Datuk Ir Hasni Mohamad, Yang Dipertua PAS Tangga Batu, Bakri Jamaluddin dan Ketua Penerangan PAS Johor, Rosman Kemin.

Selama ini katanya, rakyat menumpang teduh di bawah satu pokok yang kukuh asasnya.

“Semua rakyat berbagai kaum hidup menumpang dan berteduh di bawah satu pokok yang kukuh.

“Agama Islam dan Melayu (akar) hari ini mula disentuh. Akar ini telah menjadi saksi betapa kukuhnya pokok yang menjadi ranting, daun-daunan, buah-buahan yang dinikmati oleh semua rakyat,” ujarnya lagi.

Jelasnya juga, UMNO dan BN meletakkan asas yang utama iaitu agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan dan agama-agama lain bebas diamalkan dalam negara ini.

“Kita pertahankan hak Melayu dalam masa yang sama wajib mempertahankan hak bukan Melayu.

“Kita pasakkan perjanjian di bawah kontrak sosial, diterjemahkan dan dicatat dalam Perlembagaan Persekutuan,” tegasnya lagi. – UMNO ONLINE

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.