Kerajaan Sepenggal? Separuh Penggal Pun Dah Buat Rakyat Derita – Najib

TANJUNG PIAI, 10 Nov – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak berkata rakyat tertipu dengan harapan yang diberikan oleh Pakatan Harapan (PH) semasa kempen Pilihan Raya Umum (PRU) ke 14.

Katanya, pada hari ini selepas 18 bulan mereka memimpin dan memerintah tetapi masih tiada perubahan yang boleh dirasai rakyat,  malah rakyat merasakan keadaan lebih buruk dari pemerintahan Barisan Nasional (BN).

“Zaman BN lebih baik dari zaman kerajaan PH hari ini. Inilah peluang bagi penduduk Tanjung Piai memberi pengajaran kepada PH.

“Satu kelemahan sistem Demokrasi Berparlimen ini kalau orang bohong dan tipu…kita tak boleh buat apa-apa. Kita kena tunggu lima tahun sebelum memilih kerajaan lain.

“Pada saya lima tahun terlalu lama… ada orang kata kerajaan sepenggal, kerajaan separuh penggal pun dah cukup,” katanya dalam ucapan majlis santai bersama rakyat di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Tenggayun, di sini.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan menjelaskan kerajaan yang menang kerana fitnah, penuh kezaliman dan janji-janji palsu ini wajib ditolak oleh rakyat.

“Kita tak mahu sesiapa yang menabur palsu dan fitnah kejam dapat undi sokongan rakyat atas penipuan dan pembohongan boleh duduk selesa dan memimpin negara.

“Walhal kita buat dengan cara yang benar dan betul…kita pula jadi pembangkang.

“Ini tidak adil… kebaikan baru nampak hari ini, sebelum ini tak nampak seolah-olah apa yang dibuat semuanya buruk, gagal mentadbir negara, di bawah BN bukannya boleh memberi kesejahteraan kepada rakyat. Inilah yang dipaparkan oleh PH,” bidasnya. – UMNO ONLINE

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.