Zahid Yakin Pengundi Tg Piai Pilih BN, Tolak PH Gagal Jaga Kebajikan Rakyat

TANJUNG PIAI, 9 Nov – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yakin BN mampu merampas kembali kerusi Parlimen Tanjung Piai.

Katanya, ini bersandarkan kepada peralihan sikap pengundi-pengundi kawasan tersebut yang kecewa dengan kerajaan Pakatan Harapan (PH) kerana tidak menjaga kebajikan, keharmonian dan kos sara hidup yang tinggi semenjak mereka mentadbir Negara.

“Keyakinan ini berlandaskan kepada peralihan sikap pengundi-pengundi di Tanjung Piai.

“Ini merupakan satu perkembangan yang baru disebabkan oleh penolakan daripada pengundi-pengundi Tanjung Piai khususnya bahawa mereka cukup kecewa bukan kerana hanya harga komoditi yang mereka usahakan menurun, tetapi apabila keperluan barangan meningkat dan kini amat membebankan mereka.

“Saya lihat bukan sahaja di kalangan orang Melayu, Cina dari peniaga kecil hingga pekebun-pekebun ladang kelapa sawit merasa amat kecewa dengan apa yang berlaku sekarang ini,” ujarnya yang juga Presiden UMNO kepada UMNO Online ketika ditemui di program ‘walkabout’ di Kukup, di sini hari ini.

Baru-baru ini calon dari PH, Karmaine Sardini telah mengguriskan hati pekebun kelapa sawit dengan mengatakan bahawa harga kelapa sawit RM270 bagi setiap satu tan, pekebun harus bersyukur sangat kerana ia nilai yang banyak, bukannya sedikit.

Pilihan Raya Kecil (PRK) P165 Tanjung Piai menyaksikan pertembungan enam penjuru iaitu calon BN Datuk Seri Dr Wee Jec Seng, Karmaine Sardini (PH), Wendy Subramaniam (Gerakan) dan dua calon bebas, Faridah Aryani Abdul Ghaffar dan Ang Chuan Lock. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.