Veteran UMNO Beri Impak Nilai Tambah Kempen BN Di PRK Tg Piai

TANJUNG PIAI,9 Nov – Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata kerja keras dan muafakat semua pihak dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai termasuk Veteran UMNO bakal memberi impak yang cukup berkesan dalam usaha memenangkan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Wee Jeck Seng.

Menurut beliau kehadiran veteran UMNO dan veteran UMNO Johor yang membuka bilik gerakan amat tepat dan sudah pasti memberikan nilai tambah yang cukup bermakna.

“Kerana itu, apabila Veteran UMNO bekerja bagi memenangkan calon BN di Tanjung Piai amat tepat sekali. Pastinya mereka mahu agar BN menang di Tanjung Piai dan kembali berkuasa pada PRU-15 agar segala usaha yang dilakukan selama ini oleh BN dapat diteruskan.

“Ini kerana Kerajaan Pakatan Harapan (PH) nampaknya berusaha mahu menukar serta menafikan apa yang BN lakukan selama ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melawat bilik Gerakan Veteran UMNO Malaysia dan mengadakan perjumpaan bersama jentera dan pengundi veteran.

Turut hadir dalam lawatan itu calon BN, Datuk Seri Wee Jeck Seng dan Setiausaha Agung Veteran UMNO Malaysia, Dato Mustafa Yaakob.

Tambah Shamsul, lebih 60 tahun BN memerintah negara ini daripada sebuah negara yang mundur, BN membangunkannya hingga berjaya dalam pelbagai bidang.

“Semua ini fakta yang tidak boleh dinafikan. UMNO dan rakan-rakan komponen BN yang menjadi kerajaan ketika itu membangunkan negara ini dalam pelbagai bidang seperti pendidikan, ekonomi, kesihatan, pembangunan prasarana, kebajikan dan sebagainya.

“Justeru banyak perkara yang ada hari ini adalah hasil perjuangan pemimpin terdahulu, dan nikmatnya diperolehi generasi hari ini tanpa mengira sesiapa,,” katanya.- UMNO-Online

 


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit