PH Tawar Janji Palsu Kepada Anak Muda… Hanya Kesengsaraan Yang Datang – Farhan

TANJUNG PIAI, 9 Nov – Pakatan Harapan (PH) ternyata hanya memberi janji palsu kepada anak-anak muda yang menjadi penyumbang terbesar kemenangan mereka sehingga berjaya membentuk kerajaan, tegas Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Farhan Khairuddin.

Menurutnya, hari ini golongan muda mula sedar dan menyesal atas tindakan mereka menaruh harapan kepada PH yang ternyata gagal bukan sahaja dalam menyediakan peluang pekerjaan malahan menunaikan janji dalam isu pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang amat rapat dengan golongan pelajar.

“Bila dah jadi kerajaan dan berkuasa, bukan setakat tak buat janji malah susahkan pelajar-pelajar universiti, tiada lagi skim-skim potongan kepada yang dapat kepujian kelas pertama.

“Implikasinya kepada anak-anak muda yang belajar di universiti mereka rasa tiada keperluan untuk belajar sungguh-sungguh kerana akhirnya walaupun dapat kelas pertama, tetap kena bayar hutang dengan kadar yang sama.

“Malahan dasar baru kerajaan PH gaji RM2 ribu baru bayar tapi dalam masa yang sama hantar notis setiap minggu minta bayaran. PTPTN bukan lagi jadi tabung perbadanan pendidikan tetapi sudah menjadi ‘along’ berlesen yang kerah anak-anak muda, mahasiswa bayar secara paksa. Ini tidak adil, tak betul,” tegasnya dalam ceramah isu semasa di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Jalan Rimba Terjun di sini malam tadi.

Hadir sama Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mahdzir Khalid, Ketua UMNO Bahagian Tanjung Piai Datuk Jefriddin Atan, Ketua MCA Bahagian Klang Datuk Song Kee Chai dan Setiausaha PAS Negeri Selangor Roslan Shahir.

Tambah Farhan, sepatutnya kerajaan hendaklah mengutamakan jalan penyelesaian bagi menangani masalah peluang pekerjaan kerana ia merupakan cara paling baik untuk memastikan anak-anak muda mampu membayar kembali pinjaman pelajaran.

Kerana itulah katanya, semakin jelas PH tidak mampu membela rakyat.

“Mereka tidak tahu macam mana nak bela nasib rakyat. Mereka hanya boleh janji sahaja, guna perkataan-perkataan retorik.

“Hari ini menang esok minyak turun…hari ini menang esok hapus tol…hari ini menang hapus PTPTN…hari ini menang kereta harga rendah… macam-macam dijanjikan ibarat janji bulan bintang, janji syurga.

“Hakikatnya hanya kesengsaraan yang ditawarkan oleh PH,” tempelaknya lagi.

Dalam ceramahnya juga, Farhan berkata tiada sebab di dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai ini pengundi-pengundi Melayu tidak memberikan undi kepada Calon BN, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng.

“Orang Cina dalam MCA tidak sama dengan orang Cina yang berada dalam Dap. Sebab mereka yang berada dalam MCA seawal penubuhan Persekutuan Tanah Melayu ketika kita merdeka 1957 lagi.

“Mereka inilah yang merelakan diri untuk bekerjasama dengan orang Melayu sebagai majoriti untuk mendapatkan kemerdekaan negara.

“Sebab itu tidak ada istilah tidak boleh bagi (undi) kepada MCA, kerana di belakangnya disokong oleh parti-parti yang mengangkat penyatuan ummah yang kukuh dalam satu gagasan Muafakat Nasional,” katanya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.