Gagal Urus Negara : PH Bukan Tempat Rakyat Bergantung Harap – Mahdzir

TANJUNG PIAI, 9 Nov – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid kesal melihat kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang tidak mahu mengakui kesilapan sendiri akibat tidak pandai mengurus negara dengan baik.

Bahkan katanya, pemimpin PH tetap menyalahkan pembangkang khususnya Barisan Nasional (BN) dan PAS atas ketidakcekapan mereka itu.

“Masalahnya apabila PH kata pembangkang yang tuduh, membuat persepi yang mereka tidak boleh buat.

“Kalau boleh buat, tunjuklah kepada rakyat. Rakyat mahu lihat sama ada PH boleh buat atau tidak,” bidasnya di dalam ceramah umum di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Jalan Rimba Terjun di sini malam tadi.

Hadir sama Ketua UMNO Bahagian Tanjung Piai Datuk Jefriddin Atan, Ketua MCA Bahagian Klang Datuk Song Kee Chai, Exco Pemuda UMNO Malaysia Farhan Khairuddin dan Setiausaha PAS Negeri Selangor Roslan Shahir.

Ahli Parlimen Padang Terap itu juga berkata hanya dengan kemenangan BN di Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai dapat memberi isyarat kepada kerajaan PH.

“Kalau kita tunjukkan Tanjung Piai boleh kembali kepada BN dan Muafakat Nasional bersama dengan PAS maknanya kita menunjukkan signal kepada kerajaan.

“Satu pelajaran kerana PH telah buat salah setahun enam bulan. Rakyat tidak gembira dengan kerajaan PH bukan soal personaliti atau individu.

“Tetapi kerajaan berada di tahap lemah, tidak boleh untuk rakyat mengharap. Maka pengajaran yang diberikan ialah menangkan BN di Tanjung Piai pada 16 November,” katanya lagi.

Mahdzir turut memberikan penjelasan mengenai gabungan politik antara UMNO dan PAS yang jelas tidak meminggirkan parti-parti kompenan BN.

“Gabungan politik antara UMNO dan PAS bukanlah sesuatu yang hendak diambil semua untuk orang Melayu yang beragama Islam sebab kita sedar negara ini berbilang bangsa.

“Kolaborasi UMNO dan PAS bukan bermakna akan meninggalkan orang lain, sebab itu dalam gabungan politik kedua-duanya ada komponen BN,” jelasnya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.