Tolak PH, Jangka Hayat Kerajaan Sepenggal Semakin Hampir – Zahari

TANJUNG PIAI, 9 Nov – Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Zahari Sarip menyeru agar rakyat Tanjung Piai mengundi calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng pada hari mengundi 16 November ini.

Jelas beliau, pada keadaan semasa sekarang ini rakyat sudah tidak sabar ingin menghumban PH dari pentadbiran kerajaan.

“Masyarakat Malaysia sudah sedar dan mula menjauhkan diri dari PH. Jangka hayat sepenggal bakal menjadi realiti dan rakyat sudah tidak sabar lagi. Penduduk Tanjung Piai harus membuktikan bahawa rakyat menolak PH.

“Satu negara sudah heboh dengan kerajaan sepenggal, banyak tempat dah tak sabar-sabar nak tunggu Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15.

“Tanjung Piai… tolong kami berikan isyarat kepada kerajaan PH, bahawa rakyat nak tukar kerajaan yang sedia ada. Di mana-mana tempat semuanya nak tukar kerajaan,” katanya dalam ceramah umum di Pusat Daerah Mengundi (PDM), Khamis malam, di sini.

Turut hadir Yang Di Pertua (YDP) PAS Kawasan Sungai Buluh, Zaharuddin Mohamad, Ketua-ketua cawangan, Ketua-ketua sayap cawangan dan penduduk-penduduk PDM Kampung Lubuk Sawah.

Sementara itu, Zahari yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Kasap berharap rakyat Tanjung Piai memberi peluang sekali lagi kepada Dr Wee agar menjadi wakil rakyat dan membawa suara-suara masyarakat Tanjung Piai ke Parlimen.

Tambahnya, anak-anak muda juga dulunya ramai terpedaya dengan PH pada PRU-14 lalu, yang dimomokkan dengan janji-janji palsu.

“Banyak janji-janji kosong yang diberikan kepada rakyat negara ini antaranya sejuta pekerjaan yang dijanjikan…mana dia?

“Antaranya nak bawa puluhan ribu pekerja di Singapura balik ke Malaysia…mana dia? Dia janji nak beri pekerjaan di sini. Ini antara salah satu janjinya,” bidasnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.