PRK Tanjung Piai: BN Letak Calon Tepat, Penanda Aras Kedudukan Untuk PRU-15

TANJUNG PIAI, 8 Nov – Penganalisis Politik Norman Sapar berkata, Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai adalah satu pilihan raya yang penting kerana ia merupakan penanda aras untuk Barisan Nasional (BN) kekal relevan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Jelas beliau, ini kerana latar belakang politik di sini amat sesuai untuk dijadikan ramalan memandangkan Tanjung Piai adalah satu kawasan yang sensitif kepada persekitaran.

“Kenapa saya katakan PRK ini adalah satu penentuan buat BN? Kerana pola di sini adalah kubu kuat BN namun ia merosot yang menyebabkan BN kalah akhirnya pada PRU-14 yang lalu.

“Jika dilihat, dari segi kaum pula, ada turun naik dan kawasan di sini pula sensitif kepada persekitaran. Maka, amat sesuailah PRK ini menjadi penentu kepada survival BN pada PRU-15 nanti,” ujar beliau ketika menjadi tetamu jemputan dalam segmen PRK P165 Tanjung Piai yang bertajuk ‘Transformasi BN Menawan Putrajaya’ yang disiarkan secara langsung menerusi FB UMNO-ONLINE.

Selain itu tambah Norman, pilihan raya ini juga bukan sekadar soal BN sahaja tetapi juga soal Muafakat Nasional dan hubungan antara kaum di negara ini.

“Sebab itu timbul pelbagai kontroversi berkaitan calon yang yang diketengahkan di sini dan ia bukan satu rahsia lagi sehingga ad aura-ura kononnya ahli UMNO akan boikot PRK ini.

“Namun atas semangat Muafakat Nasional dan setelah mengambil kira pelbagai pendapat, kepimpinan akhirnya meletakkan calon daripada parti MCA dan saya kira calon ini adalah tepat.

“Sudah pasti ada lebih daripada satu pencalonan nama namun semuanya ada ‘pro and cont’ dan calon mana yang mempunyai kekurangan paling sikit dan boleh memberi kemenangan kepada parti maka calon itulah yang dipilih.

“Maka kita harus terima calon yang dipilih oleh parti kerana pasti ada sebab terbaik mengapa calon ini dipilih,” ujar beliau. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.