Menteri Pan Ikut Telunjuk Dap, Jual Aset Hak Milik Orang Islam

TANJUNG PIAI, 8 Nov – Dap yang menjadi dominan dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) jelas mencampuri urusan yang melibatkan kepentingan orang Melayu dan Islam, tegas Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Katanya, ini termasuklah hingga menjual aset-aset Lembaga Tabung Haji (TH) yang berada di bawah tanggungjawab Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusoff Rawa, yang juga Naib Presiden Pan.

“Datang menteri baru ini, ikut telunjuk Dap jual pada harga yang kononnya RM200 juta untung tetapi Lim Guan Eng (Menteri Kewangan) yang tak malunya dulu fitnah macam-macam Tun Razak Exchange (TRX) ini projek yang membazir, tidak boleh beri keuntungan hanya untuk menyelamatkan 1MDB.

“Tetapi awal tahun ini dia lawat TRX kata ia adalah aset yang paling berharga sekarang, kalau siap bernilai mencecah RM40 bilion.

“Bayangkan aset itu sudah habis dijual. Maknanya orang Melayu sudah tidak memiliki hartanah di segi tiga emas Kuala Lumpur. Semuanya kerana apa? Kerana dek penangan Dap,” bidasnya dalam ceramah isu semasa di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Peradin, di sini malam tadi.

Sambil mempersoalkan mengapa PH menjual aset berharga TH tersebut, Dr Asyraf juga mengatakan aset tersebut amat rapat dengan perancangan jangka panjang TH di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN) dahulu bagi membantu orang Islam.

“TH ada dua matlamat. Pertama, hendak menguruskan orang Islam menunaikan haji dengan cara terbaik. TH kena cari keuntungan untuk digunakan sebagai subsidi.

“Sebab itu sejak sepuluh tahun lalu kos pergi haji RM9,980. Harga sebenar RM22,300. Bezanya kerajaan subsidi melalui TH. Bagaimana mampu beri subsidi?

“Kerana ada matlamat kedua iaitu untuk memastikan ekonomi umat Islam berkembang dengan membuat pelaburan seperti di sektor perladangan, hartanah, beli aset dan sebagainya,” kata bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu.

Jelasnya lagi cara BN membantu orang Islam pergi menunaikan haji dengan memastikan aset-aset yang diperolehi TH mestilah berdaya maju.

“Salah satunya ialah, di tengah-tengah Kuala Lumpur ada satu kawasan yang dipanggil segi tiga emas, hendak dibangunkan sebagai pusat kewangan dan perbankan Islam dunia.

“Dan untuk memastikan kuasa orang Melayu tidak hilang daripada pemilikan harta di tengah-tengah Kuala Lumpur, Datuk Seri Najib (bekas Perdana Menteri) mencadangkan TH beli tanah tersebut dengan harga RM198 juta.

“Berdasarkan kiraan jangka panjang, hasil sewaan mampu membayar subsidi untuk orang pergi haji dan beri keuntungan dalam bentuk hibah kepada pendeposit-pendeposit,” ujarnya lagi.

Dalam ceramahnya juga, Dr Asyraf berkata dasar dan polisi BN jauh berbeza dengan PH kerana BN didominasi oleh UMNO.

“Daripada merdeka sampailah ke hari ini, parti yang mempunyai kerusi majoritilah yang akan menentukan dasar-dasar utama negara.

“Sebab itulah sebelum BN kalah, 61 tahun memerintah UMNO dominan.

“Fasal tiga Perlembagaan UMNO mengatakan matlamat perjuangan UMNO adalah untuk mendaulatkan Islam dan UMNO lah yang sebenarnya telah mencorakkan Islam di Malaysia,” katanya lagi.

Tambahnya, penubuhan institusi-instusi pendidikan agama dari sekolah rendah ke peringkat universiti seterusnya melahirkan guru-guru agama hinggalah menjadi pelopor kewujudan bank-bank Islam, takaful, pasaran modal Islam dan sistem halal yang diiktiraf seluruh dunia adalah disebabkan perjuangan UMNO dan BN.

“Kenapa kita boleh buat semua ini? Sebab kita ada kuasa. Bila kita parti dominan kita boleh jaga Islam dan Melayu,” tegasnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.