PH Semakin Rasis, Menteri ‘Cap Ayam’ – Wee Ka Siong

TANJUNG PIAI, 7 Nov – Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong menyelar pemikiran pimpinan Pakatan Harapan (PH) kini dilihat semakin rasis dan tidak memikirkan kesejahteraan rakyat yang berbilang kaum di negara ini.

Jelas beliau, selama ini rakyat Malaysia dapat hidup aman dan damai tanpa masalah tetapi sekarang terdapat menteri-menteri PH yang cuba memporak-perandakan keharmonian kaum.

“Ada menteri dan pemimpin PH mengatakan jangan bagi Barisan Nasional (BN) menang Pilihan Raya Kecil (PRK) dan negara ini akan ke arah kehancuran serta menjadi huru-hara. Fikirlah… ini menteri cap ayam.

“Kita kena kembali ke jalan asal iaitu kita hendak memastikan negara kita harmoni dan tetap bersatu padu.

“Jangan jadi masyarakat yang berkecai… buat apa negara kita berkecai… tak guna. Tiada kebaikan pada kita dan buat apa nak menakut-nakutkan rakyat,” katanya semasa Ceramah Perdana di bilik gerakan BN Kukup, malam tadi, di sini.

Turut hadir dalam ceramah perdana Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan; Pengerusi BN Johor, Datuk Ir Hasni Mohamad; Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa; Setiausaha Agung PAS Pusat, Datuk Takiyuddin Hassan; Ketua UMNO Bahagian Tanjung Piai, Datuk Jefridin Atan serta pengundi-pengundi Parlimen Tanjung Piai.

Ka Siong yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam menjelaskan semangat musyawarah dan kesetiakawanan cukup penting bagi BN yang terjalin sejak sekian lama.

“Bukan semua orang Cina ini rasis, ada tanggapan kecil dan persepsi mereka berlainan dan percayalah di bumi Malaysia ini ada anak-anak Cina yang berjiwa Malaysia.

“Ini semuanya muslihat politik PH,” ujarnya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.