Persoalan Bantuan Nelayan RM1,000 Ketika Tempoh Berkempen Dibangkit Di Parlimen

KUALA LUMPUR, 7 Nov – Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan hari ini membangkitkan persoalan terhadap Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkaitan bantuan untuk nelayan RM1,000 yang diberikan pada waktu tempoh berkempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.

Soal beliau apakah ianya melanggar Akta Pilihan Raya yang memberikan tunai kepada nelayan Tanjung Piai secara serahan tangan pada minggu depan?

“Menteri Pertahanan menyebut bahawa tidak akan diberi bantuan nelayan RM1,000 kepada pengundi dan nelayan Tanjung Piai kerana melanggar Akta Pilihan Raya.

“Bantuan ini diberikan sejak zaman BN pada 2016 tetapi semalam Menteri Besar (MB) Johor menyatakan pemberian RM1,000 secara serahan tangan tunai itu akan dibuat minggu depan,” katanya ketika membangkitkan soalan tambahan pada sesi soal jawab menteri di Parlimen pagi tadi.

Dalam kenyataan kepada UMNO-Online, Ahmad turut mempertikaikan ke mana perginya pihak BERSIH dan NGO berkaitan pilihan raya yang menyepi seribu bahasa tentang perlanggaran sangat nyata itu.

“SPR sebelum ini seperti di PRK DUN Rantau ada membuat arahan agar program makan minum pun tidak dibenarkan ketika masa berkempen.

“Mengikut logik, takkan pemberian tunai RM1,000 secara serahan tangan ketika kempen yang rasmi tidak pula melanggar etika PRK Tanjung Piai,” ujarnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.