Lim Guan Eng Menteri Kewangan Yang Gagal – Shamsul Anuar

KUALA LUMPUR, 7 Nov – “Lim Guan Eng gagal berfungsi sebagai pemimpin Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Menteri Kewangan yang baik serta berkesan malah ucapannya seringkali menimbulkan keadaan yang tidak elok, berbentuk provokasi yang akhirnya memberi kesan kepada negara terutama rakyat.”

Demikian bidas Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berhubung perkembangan terbaru ucapan Lim Guan Eng pada Konvensyen Tahunan Dap Johor di Muar beberapa hari lalu.

“Kerana itu diantara punca kejatuhan nilai ringgit, saham di Bursa Malaysia dan kekurangan pelaburan ke negara ini adalah kerana kelemahan Menteri Kewangan.

“Kita lihat dan dengar bagaimana ucapan beliau sebagai Menteri Kewangan sewaktu menjawab persoalan yang dibangkitkan oleh Ahli Dewan Rakyat di parlimen seringkali tidak meyakinkan, dan mengelirukan.

“Bila Menteri Kewangan tidak habis berpolitik dalam mengurus ekonomi negara, kesan amat tidak baik dan rakyat menerima kesannya,” katanya dalam kenyataan malam tadi menerusi Facebook beliau.

Malah, jelas beliau, bukan hanya di parlimen banyak kenyataan yang dibuatnya sering berbaur hasutan.

“Ini dibuktikan apabila ucapan beliau pada Konvensyen Tahunan DAP Johor di Muar pada beberapa hari lalu bersifat perkauman serta menghasut.”

Tegas beliau yang juga Ahli Parlimen Lenggong, sikap Setiausaha Agung Dap ini, sangat berbahaya kerana sebagai Menteri Kanan Kerajaan PH ucapan begini tidak baik kepada negara ini.

“Kita perlu ingat Malaysia didiami oleh rakyat berbilang kaum. Perilaku seumpama ini mesti dielakkan kerana ia boleh mencetuskan pertelingkahan antara kaum dalam negara ini.

“Ucapan berbentuk hasutan oleh Setiausaha Agung Dap sudah beberapa kali dilakukan. Fitnah dan hasutan Guan Eng keterlaluan dan jika tidak diambil tindakan oleh pihak berkuasa boleh mengheret negara ke kancah perpecahan lebih besar.”

Maklumnya, Guan Eng dalam ucapan pada 3 November lalu, mendakwa jika UMNO dan PAS berkuasa, hak-asasi masyarakat bukan Islam akan dihapuskan di samping menuduh UMNO dan PAS tidak akan membenarkan orang bukan Islam berkumpul bagi menunaikan amalan ibadat.

“Ini keterlaluan dan fitnah serta berbentuk hasutan, maka pihak berkuasa mesti mengambil tindakan tegas ekoran ucapan ini.

“Kita harap pihak polis bertegas. Ini penting, dan gunakan undang undang yang sedia ada. Sebagai pemimpin Kerajaan PH, beliau mesti hormati undang undang.

“Rakyat sedang melihat apa tindakan pihak berkuasa. Pihak berkuasa mesti bertindak kerana tiada siapa yang boleh melanggar undang undang negara,” tegas beliau lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.