Kenapa PH Perlu Tunggu Kemenangan Tanjung Piai Untuk Tunai Janji? – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 7 Nov – “Kenapa Tun (Dr Mahathir Mohamad) nak tunggu kemenangan calon Pakatan Harapan (PH) di Tanjung Piai untuk tunai janji? Semua janji manifesto dibuat sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) maknanya lepas menang PRU-14 janji kena tunai… bukan tunggu PRK Tanjung Piai,” bidas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Jelas beliau, ini sebenarnya adalah satu lagi pembohongan yang cuba dilakukan oleh PH bagi memperbodohkan rakyat sedangkan segala janji yang mereka lakukan sebelum ini tidak ada kena-mengena dengan PRK di Tanjung Piai.

“Sebab itu saya beri peringatan kepada pengundi di Tanjung Piai bahawa PH akan berjanji lagi seperti janji manifesto dulu. Menteri-menteri mereka akan turun dan buat pelbagai janji tapi saya sudah beritahu, jangan ditipu dua kali, ditipu sekali boleh maafkan diri kita tapi ditipu sekali lagi oleh pihak yang sama maka yang cuai adalah diri kita.

“Maka saya berharap pengundi di Tanjung Piai sedar, pembohongan yang PH buat pada PRU-14 akan diulangi di Tanjung Piai, kalau mereka berjanji pasti tidak akan tunaikan. Jadi, para pengundi harus membuat pilihan yang tepat dan berilah kemenangan kepada calon BN iaitu Datuk Seri Dr. Wee Jeck Seng,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Tambah Ismail Sabri, beliau mengakui kemenangan BN di Tanjung Piai memang tidak mampu mengubah status kerajaan persekutuan mahupun negeri tetapi ia mampu memberi satu isyarat yang jelas kepada PH bahawa rakyat tidak boleh ditipu berkali-kali.

“Keduanya, suara pembangkang akan jadi lebih kuat di Parlimen sebagai semak dan imbang kepada kerajaan.

“Kerajaan tidak boleh berbuat sesuka hati dari segi dasar dan sebagainya kerana tekanan akan terus diberikan oleh pembangkang agar kerajaan tidak menyusahkan rakyat,” ujar beliau lagi.

Ismail Sabri berkata demikian mengulas kenyataan Tun Dr Mahathir bahawa segala janji akan ditunaikan sekiranya kemenangan berpihak kepada PH pada PRK Tanjung Piai 16 November ini.

Menurut Perdana Menteri, kemenangan PH bermakna janji boleh ditunaikan kerana mereka adalah kerajaan di peringkat negeri dan di peringkat pusat.

PRK Tanjung Piai diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Dr Md Farid Md Rafik, daripada PPBM, pada 21 September lalu, akibat komplikasi jantung.

PRK Tanjung Piai menyaksikan pertembungan enam penjuru antara BN dengan calonnya, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng; PH, Karmaine Sardini; Gerakan, Wendy Subramaniam; Berjasa, Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz dan dua dari Bebas, Dr Ang Chuan Lok serta Faridah Aryani Abdul Ghaffar.

Calon BN, Dr Wee merupakan Ketua MCA Bahagian Tanjung Piai yang berpengalaman sebagai Ahli Parlimen di kawasan yang sama sebelum ini pada tahun 2008 hingga 2018 dan sebelumnya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pekan Nenas.

Dr Wee juga merupakan graduan Ijazah Doktor Falsafah Pengurusan Awam dari Universiti Utara Malaysia dan pernah menjawat beberapa jawatan dalam kabinet BN. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.