Isu LTTE: Blok Pembangkang Kesal, Tuntut Penjelasan Peguam Negara

KUALA LUMPUR, 7 Nov – Blok pembangkang hari ini melahirkan rasa kesal terhadap tindakan Peguam Negara menarik balik pertuduhan terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Negeri Sembilan berhubung kes yang melibatkan LTTE tanpa sebarang alasan.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata rakyat tertanya-tanya apakah alasan Peguam Negara berhubung soal berkenaan dan menuntut penjelasan mengenainya.

“Jadi kita rakyat begitu resah dan tertanya-tanya apa alasan Peguam Negara untuk menarik balik pertuduhan dan kita menuntut Peguam Negara untuk memberikan penjelasan apa alasan menarik balik kes berkenaan.
“Kita menganggap ini merupakan satu tamparan hebat kepada pihak polis yang telahpun menjalankan tugas mereka secara profesional tetapi akhirnya apa yang dilakukan oleh pihak polis langsung tidak diambil kira oleh Peguam Negara sehingga menarik balik kes.

“Isunya adalah isu keselamatan dan tidak ada kena mengena dengan kaum dan sebagainya. Tidak ada soal rasis dan sebagainya timbul. Kita tidak berminat untuk bercakap soal itu kita cuma menekankan bahawa ini adalah isu keselamatan,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, di sini, hari ini.

Tegas Ismail lagi sesiapa sahaja jika melibatkan keselamatan walaupun Islam dan Melayu sekalipun mereka akan menyokong tindakan tegas daripada pihak polis dan kerajaan.

“Tidak kira warna kulit dan tidak kira agama apabila melibatkan isu keselamatan tindakan tegas mesti diambil, kita tidak mahu kerajaan dan polis berkompromi dalam isu keselamatan negara. Signal kepada rakyat mesti jelas bahawa kerajaan tidak boleh berkompromi dalam isu yang melibatkan keselamatan negara.


“Sebab itulah tidak ada siapa daripada pihak kita membantah apabila tindakan kerajaan terhadap IS, begitu juga dulu KMM dan sebagainya… tidak ada siapa yang menentang kerana bagi kita apa juga isu yang melibatkan kepentingan negara, keselamatan negara mesti dilakukan secara tegas oleh pihak polis dan kerajaan tanpa sebarang kompromi,” ujarnya.

Pada masa yang sama beliau turut melihat tindakan Peguam Negara sebagai campurtangan di dalam kes mahkamah dan menarik balik kes yang telahpun dijalankan bukan satu perkara yang baru tetapi berkali-kali telah dilakukan sebelum ini.

Pertamanya kata Ismail apabila Tommy Thomas dilantik menjadi Peguam Negara, beliau telah menarik balik kes terhadap Ahli Parlimen Bagan berkaitan isu pembelian rumah di Pulau Pinang walaupun kes telah berjalan dan sebahagian besar saksi telahpun dipanggil tetapi Peguam Negara menarik balik kes tersebut.

“Keduanya campurtangan di dalam kes Allahyarham Adib misalnya, sehingga mahkamah memutuskan ada ‘contempt of court’ atau penghinaan mahkamah terhadap Peguam Negara yang menunjukkan Peguam Negara campurtangan di dalam kes berkenaan.

“Kita pembangkang mendesak kepada pihak kerajaan, pertamanya kepada Peguam Negara memberikan penjelasan dan keduanya oleh kerana terlalu banyak kes yang dilihat bertentangan dengan prinsip ‘rule of law’, saya harap Perdana Menteri menasihatkan Yang Dipertuan Agong kalau boleh memecat Peguam Negara daripada menjalankan tugas,” tambahnya.

Memetik laporan, semalam Mahkamah Sesyen Seremban membenarkan permohonan pendakwaan untuk membatalkan pertuduhan memiliki item berkaitan LTTE ke atas ADUN Seremban Jaya, P.Gunasekaran.  – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.