Fitnah Menteri Kewangan Terhadap UMNO-PAS Dikutuk

KUALA LUMPUR, 7 Nov – Pemuda UMNO Perak mengutuk sekeras-kerasnya kenyataan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng baru-baru ini yang sekali lagi menimbulkan kontroversi apabila secara terangan membuat kenyataan fitnah ke atas UMNO dan PAS.

Menurut Ketuanya, Mohd Arif Abdul Majid kenyataan yang dikeluarkan pada 28 Oktober lalu tidak bertanggungjawab dan sekali lagi memberi gambaran tidak baik dengan menakut-nakutkan rakyat apabila isu melibatkan perkauman ditimbulkan.

“Kenyataan media tersebut membawa maksud bahawa PAS dan UMNO membawa prinsip perkauman dan pelampau agama yang menyebarkan dakyah diskriminasi (kaum), ancaman, kebohongan dan kebencian terhadap golongan bukan Melayu dan bukan Islam yang selanjutnya akan membawa kepada perkara antaranya bukan Islam dan bukan Melayu tidak boleh memegang jawatan menteri dalam kabinet.

“Sekolah jenis kebangsaan yang mengajar bahasa ibunda ditutup. Bukan Islam khususnya Kristian tidak boleh berkumpul untuk beribadat. Produk dan perniagaan bukan Islam diboikot, bukan Islam dan bukan Melayu yang menentang mereka digelar babi, pengganas dan komunis,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam.

Tegas beliau kenyataan memalukan dan berniat jahat dalam mewujudkan doktrinisasi ketakutan kepada rakyat yang datang dari seorang pegawai tinggi kerajaan adalah suatu yang besar dan tidak boleh dipandang ringan oleh pihak berwajib.

“Kenyataan ini secara jelasnya bertentangan dengan apa yang dipersetujui dalam gabungan Muafakat Nasional antara UMNO dan PAS yang tidak akan sekali meminggirkan masyarakat majmuk di muka bumi Malaysia ini.

“Ianya juga terbukti tidak benar setelah 60 tahun pemerintahan BN yang sentiasa berteraskan pada Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan dimana agama Islam adalah agama bagi Persekutuan dan agama lain boleh di amalkan secara aman dan damai,” ujarnya.

Ujar beliau PAS sendiri juga telah buktikan pentadbiran kerajaan pimpinan PAS di Kelantan tidak pernah meminggirkan kaum lain dari pelbagai sudut melibatkan agama dan adat.

“Kita menyarankan agar satu siasatan yang telus dan berintegriti dijalankan seterusnya satu tindakan yang wajar harus diberikan tanpa mengira jawatan dan kepentingan,” tambahnya lagi.

Dilaporkan, Guan Eng yang berucap pada Konvensyen Tahunan Dap Johor di Muar baru-baru ini berkata kemenangan MCA di PRK Tanjong Piai akan meneruskan budaya perkauman dan pelampau agama yang dibawa UMNO-PAS. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.