Dulu Tuduh ‘Rasuah Politik’… PH Dah Berkuasa Semuanya ‘Halal’

KUALA LUMPUR, 7 Nov – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk segera mengambil tindakan terhadap pebagai kebetulan yang berlaku sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.

Beliau menggesa demikian berhubung pengumuman Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal bahawa nelayan di kawasan Johor Selatan termasuk Tanjung Piai akan menerima bantuan khas nelayan sebanyak RM1,000 bermula minggu depan.

“Ini pun satu lagi kebetulan! Kalau dahulu PH kata rasuah politik, sekarang bila dah berkuasa semuanya halal!

“Dah banyak laporan polis dibuat, harap SPR dan pihak SPRM dapat ambil tindakan segera jika tidak mahu dilihat hilang kredibiliti,” katanya dalam kenyataan ringkas hari ini.

Yang jelas tegas beliau, ini bercanggah dan menyalahi Seksyen 10(a) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang menyatakan adalah menjadi satu kesalahan bagi mana-mana pihak berjanji memberikan balasan wang atau sesuatu bernilai kepada pengundi bagi mendorong mereka memilih mana-mana calon dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 2 tahun atau denda antara RM1,000 hingga RM5,000.

“Harap pihak SPR ambil perhatian,” gesa beliau lagi.

Terdahulu dilaporkan terdapat dakwaan segelintir masyarakat nelayan di Tanjung Piai bahawa wang sagu hati atau wang ihsan yang pernah dinikmati sejak 2016, masih belum diterima sehingga kini.

Dakwaan itu antara lain memaklumkan bahawa nelayan telah diberikan wang ihsan sebanyak RM2,000 pada zaman pemerintahan Barisan Nasional (BN) sebelum dijanjikan RM1,000 oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) ketika ini. – UMNO ONLINE