Wee Jeck Seng Nafi Terlibat Rasuah VEP, Pihak Lawan Guna Taktik Kotor
TANJUNG PIAI, 6 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng dengan tegas menafikan terlibat dalam penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan dana awam.
Beliau amat yakin Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) pasti akan membersihkan namanya.
“Dalam masa sama, saya menggesa pihak lawan dalam PRK ini supaya berjuang dengan adil bersandarkan idea, dasar dan komitmen untuk rakyat.
“Semua pihak seharusnya menghentikan taktik kotor dan kembali kepada fokus utama iaitu berkhidmat untuk rakyat,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini, malam tadi.
Dr Wee berkata demikian mengulas mengenai laporan polis terhadapnya petang tadi yang dibuat parti lawan kononnya beliau terlibat dengan rasuah dalam projek Permit Masuk Kenderaan (VEP), yang secara jelas bermotifkan politik bagi menentangnya dalam PRK Tanjung Piai.
Mengulas lanjut, Dr Wee menegaskan bahawa dakwaan yang dibuat terhadapnya yang mengaitkan dengan projek VEP itu sebenarnya bukanlah perkara baharu malah PAC telah pun membuat pendengaran sebanyak tiga kali sejak Mac tahun ini.
“Banyak tuduhan yang disebarkan ketika ini adalah tidak berasas dan ianya telah pun dijelaskan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2017.
“Misalnya, tuduhan mengatakan bahawa syarikat yang berjaya mendapatkan projek berkenaan hanya memiliki RM35 dalam akaun bank.
“Walhal laporan Ketua Audit telah mengatakan bahawa syarikat terbabit memiliki lebih daripada RM3 juta dan melepasi kelayakan minima sebagaimana yang disyaratkan,” jelasnya lagi.
Begitu juga tuduhan yang mengatakan kos operasi meningkat tinggi juga tidak tepat kerana ia sebenarnya disebabkan oleh peningkatan dalam skop yang ketara termasuk lebih daripada dua kali ganda kapasiti dalam beberapa keperluan,” tambahnya.
“Ini semua sudah dinyatakan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2017.
“Saya perhatikan bahawa Laporan Audit juga menyatakan bahawa projek itu telah berjaya mengumpul lebih daripada RM177 juta hasil untuk kerajaan sejak ia dilaksanakan pada tahun 2016 sehingga Jun 2018,” katanya.
Dengan tegas juga ujar Dr Wee, bagi menepis keraguan beliau tidak pernah menjadi pengarah untuk syarikat dan juga tidak lagi memegang apa-apa saham dalam syarikat berkenaan.
Menurut Ketua MCA Tanjung Piai itu juga, apa yang terjadi kepadanya seolah-olah sama dengan apa yang berlaku ketika PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau sebelum ini apabila laporan polis dibuat terhadap calon BN Datuk Seri Mohamad Hasan yang kononnya terlibat dengan rasuah berhubung pembelian pangsapuri di luar negara.
“Setelah berakhirnya PRK Rantau, pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kemudiannya membersihkan nama beliau dan pihak lawan pula tidak lagi membangkitkan isu tersebut,” tegasnya. – UMNO ONLINE