UMNO-PAS Bukannya Rasis Seperti PH – Jamil Khir

TANJUNG PIAI, 6 Nov – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Jamil Khir Baharom menegaskan bahawa gabungan UMNO-PAS yang menjadi kenyataan tidak rasis dan tidak mungkin bersikap sedemikian.

Jelas beliau, pada 14 September yang lalu UMNO dan PAS telah duduk bersama dengan mewujudkan Muafakat Nasional serta membentangkan kandungan piagamnya yang secara jelas telah menunjukkan kepada seluruh rakyat, bahawa UMNO dan PAS ini bukannya rasis sebagaimana yang selalu dimainkan oleh Pakatan Harapan (PH).

“Tak timbul langsung kita nak rasis. Islam ajar kita bersikap adil jadi mana mungkin kita nak assobiyyah (rasis).

“Barisan Nasional (BN) memerintah bukan sehari tapi lebih 60 tahun memerintah, PAS mentadbir di Kelantan sudah 27 tahun tapi rakyatnya hidup dalam suasana yang aman, agama lain bebas dan tidak diganggu sedangkan PH baru 18 bulan memerintah tapi dah ada macam-macam isu,” katanya dalam ceramah di Bilik Gerakan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Rambah sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) P165 Tanjung Piai, di sini, malam tadi.

Turut hadir dalam ceramah ini Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abdul Samad; Ketua PDM, Rejab Tasrip dan penduduk-penduduk PDM Rambah.

Jamil Khir yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah turut menjelaskan perkara tiga perlembagaan negara iaitu Islam adalah agama rasmi dan agama lain bebas diamalkan di mana-mana bahagian di Malaysia.

Tambah Jamil Khir lagi, terdapat satu tokong Buddha yang terbesar di Asia iaitu di Kelantan dan sampai hari ini tiada seorang pun yang pergi mengacau, menolak mahupun menggerakkan tokong itu.

“Di Batu Caves terdapat tokong yang berdiri ‘Lord Murugan’ sama tinggi dengan bukit. Tidak ada siapa yang mengacau ataupun mahu menjatuhkannya … jadi mana mungkin hendak menuduh kesepakatan UMNO dan PAS rasis, apatah lagi kita bersama dengan parti MIC dan MCA.

“Kalau UMNO dan PAS gagal laksanakan Muafakat Nasional… dan kita lihat mainan dari media sosial PH ke arah menghentam BN, tapi mereka (PH) terkedu apabila tiba-tiba pengumuman calon yang kita umumkan dari MCA, sesuatu yang mereka tak jangka… calon yang sebaliknya dan kita tengok calon BN ini telah memberi khidmat yang panjang kepada penduduk Tanjung Piai, malah walaupun kalah tetap juga berkhidmat kepada rakyat,” tegasnya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.