PRK Tg Piai: Tak Usah Dengar Lagi Apa Tun M Cakap – Ku Li

KUALA LUMPUR, 6 Nov – “Tak usah dengarlah apa dia (Tun Dr. Mahathir Mohamad) cakap. Nasihat saya tak usah lagi dengar dia cakap… banyak sangat cakap tapi tidak tunai janji pun tak berasas,” ujar Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li).

Justeru jelas beliau, pengundi di Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai harus bijak memilih dan jangan terus terpedaya dengan janji manis Pakatan Harapan (PH).

Tengku Razaleigh yang juga Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO berkata demikian mengulas kenyataan Tun Dr Mahathir bahawa segala janji akan ditunaikan sekiranya kemenangan berpihak kepada PH pada PRK Tanjung Piai 16 November ini.

Menurut Tun, kemenangan PH bermakna janji boleh ditunaikan kerana mereka adalah kerajaan di peringkat negeri dan di peringkat pusat.

PRK Tanjung Piai diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Dr Md Farid Md Rafik, daripada PPBM, pada 21 September lalu, akibat komplikasi jantung.

PRK Tanjung Piai menyaksikan pertembungan enam penjuru antara BN dengan calonnya, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng; PH, Karmaine Sardini; Gerakan, Wendy Subramaniam; Berjasa, Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz dan dua dari Bebas, Dr Ang Chuan Lok serta Faridah Aryani Abdul Ghaffar.

Calon BN, Dr Wee merupakan Ketua MCA Bahagian Tanjung Piai yang berpengalaman sebagai Ahli Parlimen di kawasan yang sama sebelum ini pada tahun 2008 hingga 2018 dan sebelumnya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pekan Nenas.

Dr Wee juga merupakan graduan Ijazah Doktor Falsafah Pengurusan Awam dari Universiti Utara Malaysia dan pernah menjawat beberapa jawatan dalam kabinet BN. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.