PH Kata Bela Kebajikan Rakyat… Tapi Semua Bantuan Dipotong, Bidas Wee Jeck Seng

TANJUNG PIAI, 6 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng amat terkesan apabila melihat pelbagai bantuan kebajikan rakyat terutama bagi masyarakat di luar bandar dipotong oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Ujarnya ini berbeza sepanjang perkhidmatannya pada zaman pentadbiran BN dahulu kerana pelbagai perancangan program telah berjaya dilaksanakan tetapi kini terhenti atas beberapa kekangan sejak gagal mempertahankan kerusi parlimennya pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Saya terfikir apakah akan terjadi terutama kepada saudara-mara kita yang 5,400 keluarga itu. Benarkah kerajaan baharu ini dia akan tunaikan janji? Benarkah mereka akan turun padang? Benarkah mereka akan menjejakkan kaki untuk memastikan kebajikan mereka ini.

“Selepas itu saya terima banyak panggilan daripada rakyat, saya dapati bahawa kerajaan yang dikatakan akan bela nasib orang kampung nampaknya tidak bertindak sedemikian.

“Kalau dulu kerajaan BN kita bela nasib kepada golongan nelayan, pekebun kecil dengan pelbagai insentif, sekarang semua dipotong walau mereka kata beri perhatian,” ujarnya pada program sembang santai bersama rakyat di Warung Nelayan di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Penerok, di sini malam tadi.

Hadir sama Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan yang juga Timbalan Presiden UMNO dan Ketua UMNO Bahagian Rasah, Datuk Hashim Rasdi.

Ketua MCA Bahagian Tanjung Piai itu turut bertekad memperkasakan semua program-program yang pernah dilaksanakannya dahulu jika diberi peluang kembali menjadi Ahli Parlimen.

Sebagai anak kampung yang berlatarbelakangkan keluarga miskin, Dr Wee juga berkata bahawa beliau amat memahami penderitaan dan keperitan hidup rakyat dengan mengambil peluang memenuhi kebajikan mereka dan memberi pelbagai bantuan ketika menjadi Ahli Parlimen dahulu.

“Pada peringkat awal perkhidmatan dari 500 keluarga dikembangkan kepada 5,400 keluarga dengan diberi bantuan kebajikan keperluan asas, bukan mengadakan majlis di sesuatu tempat menghimpun mereka, tetapi pihak saya turun ke setiap keluarga tersebut.

“Saya memastikan program kebajikan itu benar-benar memberi manfaat yang secukup-cukupnya kepada rakyat di kawasan ini. Daripada situlah saya melanjutkan satu lagi program iaitu untuk pendidikan. Saya bermula dengan satu bajet untuk memperkasakan sekolah-sekolah rendah termasuk satu bajet khas sekolah agama. Sebab di kawasan ini kita ada 11 sekolah rendah jenis kebangsaan, 26 sekolah kebangsaan, 27 sekolah agama yang perlu dibantu.

“Pendidikan amat penting untuk anak-anak kita. Dari sekolah rendah saya lanjutkan ke sekolah menengah. Saya telah membelanjakan RM500 ribu setiap tahun untuk memastikan anak-anak kita di tingkatan lima dapat satu password online tuisyen percuma,” katanya.

Dr Wee juga berkata ketika menjadi Ahli Parlimen, beliau pernah mengadakan program khas memberi peruntukan kepada orang-orang Islam untuk menunaikan umrah atas dasar dirinya dengan rakyat Tanjung Piai yang dianggap sebagai keluarga besarnya.

Dalam ucapannya juga, Dr Wee membidas calon PH, Karmaine Sardini yang membuat kenyataan merendah-rendahkan pekebun sawit supaya merasa cukup dengan pendapatan rendah yang diperoleh dan tidak menyalahkan kerajaan PH yang tidak membuat apa-apa bagi menangani kejatuhan harga kelapa sawit. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.