Latheefa Koya… Cakap Betul-betul, Jangan Bohong, Jangan Pilih Bulu… – Shahrir

TANJUNG PIAI, 6 Nov – Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abdul Samad kecewa dengan sikap Ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Beebi Koya yang bersikap ‘pilih bulu.’

Jelasnya, Sarawak Report mengatakan bahawa terdapat gambar tiga orang yang disyaki iaitu beliau, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Sehubungan itu, Shahrir mempersoalkan mengapa kenapa Mas Ermieyati tidak dikenakan kompaun.

“Adakah kerana Ahli Parlimen Masjid Tanah itu telah melompat parti ke Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM)?”

Kata beliau, SPRM memilih yang mempunyai lebih RM500 ribu, namun yang dikompaun termasuk RM100 ribu, RM200 ribu dan RM300 ribu serta juga akaun UMNO Bahagian-bahagian.

“Lateefha… engkau pembohong, kenapa engkau membohong pada masyarakat. Kita akan lawan. Engkau ni baru nak siasat tapi engkau mengenakan kompaun sebelum siasat… buat apa? Inilah Ketua Pesuruhjaya yang handal sangat….

“Negara ini ada undang-undang, takkanlah kita nak adakan satu undang-undang untuk orang Pakatan Harapan (PH), satu undang-undang untuk orang UMNO, Latheefa… cakaplah betul-betul janganlah bohong,” katanya dalam ceramah di Bilik Gerakan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Rambah sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) P165 Tanjung Piai, di sini, malam tadi, di sini.

Turut hadir Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Ketua PDM, Rejab Tasrip dan penduduk-penduduk PDM Rambah.

Tegas Shahrir lagi, SPRM sepatutnya diletakkan di bawah Parlimen, satu badan yang bebas berkecuali dan profesional tanpa campur tangan politik.

Ujarnya juga pada dua hari lepas, beliau mendapat panggilan dari SPRM dan diminta hadir dengan membawa dokumen-dokumen yang diperlukan.

Pada 7 Okt lalu, SPRM mengeluarkan notis kompaun bernilai RM420 juta melibatkan 42 pemimpin UMNO termasuk Shahrir atas alasan bagi mendapatkan semula dana 1MDB.

Menurut SPRM, tindakan itu dibuat mengikut Seksyen 92 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001. – UMNO ONLINE