Aman Damai, Muafakat Nasional Itulah BN… Sedangkan Pan, Dap?

TANJUNG PIAI, 6 Nov – Barisan Nasional (BN) telah membuktikan sepanjang mentadbir negara lebih 60 tahun lalu tidak pernah mencetuskan sebarang rusuhan, ketegangan mahupun peperangan antara kaum, tegas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Bukti tersebut katanya adalah jelas mematikan kenyataan dari menteri kabinet kerajaan Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Salahuddin Ayub, juga Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Pan) yang begitu prejudis jika BN dan rakan muafakatnya PAS kembali memegang Kerajaan Persekutuan, negara akan menjadi huru-hara.

“Semasa kerajaan Perikatan dan kemudian diteruskan dengan Barisan Nasional (BN) keadaan negara dalam aman damai tiada pula perang antara satu sama lain.

“Jadi tuduhan ini tuduhan yang tidak bertanggungjawab. Tidak ada asas sama sekali, rekod tidak menunjukkan bahawa kita kumpulan politik yang membawa mudarat kepada rakyat dan negara.

“Tidak ada bukti sama sekali. Ini hasutan, kalau boleh pihak berkuasa elok mengambil tindakan kepada pemimpin seperti ini,” tegasnya di dalam segmen PRK P165 Tanjung Piai dalam topik ‘Langkah Tepat Muafakat Nasional’ yang disiarkan secara langsung di Facebook UMNO Online, malam tadi.

Dalam temubual tersebut, Ahli Parlimen Pasir Salak itu melahirkan kebimbangan mengenai sikap parti Dap yang cuba mengubah sejarah negara di mana secara diam mempromosi buku komik ‘Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama’ yang jelas mengangkat perjuangan komunis.

“Ya, dinyatakan dalam komik itu perjuangan komunis. Mereka ingin mengetengahkan kepada rakyat bermula dari kumpulan pelajar lagi iaitu komunis ini merekalah yang sebenarnya yang berjuang menuntut kemerdekaan, Mat Sabu (Mohamad Sabu-Presiden Pan) pun pernah cakap dulu tentang Mat Indera.

“Jadi mereka hendak menghalalkan perjuangan komunis dan menidakkan perjuangan orang Melayu, askar Melayu. Mereka mahu menulis semula sejarah. Ini bahaya. Itu perkara pertama.

“Keduanya, idea komunis tidak sesuai dengan negara kita yang agamanya Islam. Idealoginya banyak bertentangan dengan ajaran Islam. Sekiranya fahaman ini diterapkan di kalangan anak muda dan rakyat Malaysia, ia akan mengancam keunggulan agama Islam dan orang Islam itu sendiri,” tegasnya lagi.

Seterusnya, Tajuddin mempersoalkan bagaimanakah komik tersebut begitu mudah disebarkan di sekolah-sekolah jika tanpa sokongan daripada Kementerian Pendidikan walaupun pihak kementerian menafikannya.

“Ini bahaya. Siapa yang membenarkan buku ini disebarkan? Tidak mungkin ia boleh disebarkan dengan begitu berleluasa di sekolah-sekolah melalui agensi kerajaan. Tulis surat kepada guru besar suruh edar buku-buku ini kepada pelajar-pelajar.

“Dan hendak menunjukkan sebenarnya pihak yang mengedar buku ini mendapat sokongan daripada Dap, ditunjukkan gambar yang diambil di Kementerian Pendidikan, timbalan menteri dari pemimpin dap dan penulis komik itu. Saya percaya timbalan menteri itu telah beri keizinan untuk pengedaran.

“Kalau tidak takkan dia berani. Jadi inilah menunjukkan keterlibatan Dap secara langsung. Sebab apa berani? Kerana orang Melayu lemah. Walaupun kerajaan itu perdana menterinya Melayu, menteri-menterinya ada Melayu dari Amanah, Bersatu tapi yang pegang kuasa kerajaan sekarang ini adalah Dap. Sebab itu mereka berani mengetengahkan agenda perjuangan mereka,” bidasnya lagi.

Berhubung dengan program himpunan penyatuan ummah Muafakat Nasional pada 14 November nanti di Kampung Sawah, Pekan Nenas, di sini Tajuddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Himpunan Ummah Malaysia berkata ia merupakan ‘road show’ bagi peringkat negeri Johor.

“Sempena pilihan raya kecil juga usaha kita ini untuk menunjukkan kepada rakyat Malaysia bahawa kita mempunyai agenda Muafakat Nasional, tidak ada rasis, bukan perkauman dan kita bersatu atas nama rakyat Malaysia. Ini merupakan waktu yang tepat.

“Saya harap dapat mengumpulkan dua puluh ribu orang sekurang-kurangnya, pemimpin-pemimpin tertinggi daripada PAS, UMNO, juga daripada MCA dan MIC akan turut hadir.

“Tujuan kita pada hari tersebut hendak membuktikan bahawa ini Muafakat Nasional. Ini bukannya penyatuan untuk orang Melayu sahaja. Kebangkitan orang Melayu, penyatuan ummah itu adalah pencetus kepada permuafakatan dan menunjukkan kepada rakyat bahawa kita mempunyai satu agenda yang sangat baik,” ujarnya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.