Salahuddin Terus Dikecam, Ucapan Rasis Di Sekolah Tidak Beretika – Wee

 

KUALA LUMPUR, 5 Nov – Presiden MCA, Datuk Seri Ir. Wee Ka Siong mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Salahuddin Ayub yang menggunakan sekolah menyebarkan hujah berbau rasis demi kemenangan Pakatan Harapan (PH) di Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai.

Jelas beliau, tindakan Salahuddin ini adalah satu perbuatan yang tidak beretika dan seharusnya dikecam.

“Perkara sebegini tidak pernah berlaku dalam sejarah Kementerian Pelajaran. Perbuatan ini adalah satu perbuatan tidak beretika dan saya rasa sedih kerana dalam Malaysia Baru yang mereka sering katakan perlu berlaku adil tetapi mereka sendiri tidak bersikap sedemikian.

“Kenapa gunakan sekolah? Bukankah selama ini apa yang diperjuangkan mereka agar kerajaan tidak menggunakan jentera kerajaan untuk berkempen? Adakah mereka sudah lupa?” soal beliau ketika bercakap kepada media di lobi Parlimen hari ini.

Tambah Wee, sekiranya PH begitu terdesak untuk menang di PRK Tanjung Piai, mereka tidak sepatutnya menyalahgunakan kuasa dan mempengaruhi warga pendidik dengan hujah yang salah.

“Janganlah kerana mahu menang mereka langgar semua prinsip yang mereka perjuangkan. Jangan cakap tidak serupa bikin,” bidas Wee lagi. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.