PRK Tg Piai: Jadikan Kemenangan BN Satu Momentum Kebangkitan Rakyat

TANJUNG PIAI, 5 Nov – Kemenangan Barisan Nasional (BN) di Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai akan menjadi satu momentum kebangkitan rakyat untuk menumpaskan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, ujar Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

“Jadikan ia satu momentum kebangkitan rakyat Malaysia, orang Melayu, Cina dan India. Kenapa kena bangkit?

“Bangkit sebabnya kita menghadapi suasana di mana kerajaan PH yang mengambil alih pemerintahan di negara kita ini sudah menunjukkan ketidakupayaan mereka.

“Bukan sahaja mereka tidak berupaya mentadbir negara ini untuk menjaga kesejahteraan hidup rakyatnya tetapi membawa malapetaka besar kepada anak cucu kita,” ujarnya dalam ceramah umum di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Andek Mori, Kukup di sini malam tadi.

Ulas lanjut, Ahli Parlimen Pasir Salak itu berkata kekalahan BN pada PRU yang lalu tidak lagi boleh diratapi tetapi ia hendaklah dijadikan satu kekuatan dengan menampilkan strategi-strategi yang baharu bagi memastikan PH dikalahkan.

“Kita kena bangkit semula bukan bermakna kalah sekali akan kalah selama-lamanya. Kita akan bangkit semula.. dengan sebab itu saya anjurkan Melayu bangkit pada 1 September (2018) di Pasir Salak. Sebab Pasir Salak pejuang Melayu dahulu.

“Dari segi politik, untuk menentang Pakatan Harapan tidak cukup hanya dengan UMNO sahaja. Pada November (2018) saya anjurkan himpunan perpaduan ummah di Pasir Salak menyatukan PAS dan UMNO kerana antara sebab kita kalah kerana pertandingan tiga penjuru. Mereka bersatu sedangkan orang Melayu, UMNO dan PAS berpecah. Sebab itu kali ini UMNO dan PAS mesti bersatu, Melayu mesti dahulu bersatu.

“Sekarang ini kita akan bertanding dalam PRU akan datang, tidak akan lagi tiga penjuru. Kita lawan Pakatan Harapan satu dengan satu,” tegasnya lagi.

Tajuddin juga memberi jaminan bahawa bangsa lain tidak perlu ada ketakutan apabila orang Melayu bersatu kerana hak-hak kaum lain tidak akan diganggu-gugat malah ianya mampu memberi keharmonian dan kemakmuran.

“Kita mahukan keamanan. Keamanan merupakan prasyarat untuk negara kita nak maju dan berjaya.

“Sekarang ini majoriti orang Melayu telah bersatu. Kita mahu rakyat Malaysia bersatu, orang Cina, India dan lain-lain bangsa juga bersama-sama dengan kita.

“Kita sudah angkat penyatuan ummah ke peringkat yang lebih tinggi iaitu Muafakat Nasional,” katanya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.