PH Terdesak Di Tg Piai, Menghasut Untuk Menang – Dr Shamsul Anuar

KUALA LUMPUR, 5 Nov – Pakatan Harapan (PH) terdesak untuk menang dan mempertahankan kerusi Parlimen Tanjung Piai hingga sanggup lakukan apa sahaja termasuk menghasut pengundi, kata Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Katanya, ucapan YB Salahuddin Ayub sebagaimana dalam video yang sedang tular dalam satu perjumpaan tertutup dengan pengundi di Tanjung Piai jelas menghasut serta membuat tuduhan yang tidak berasas dan rasis.

“Tuduhan beliau negara akan huru-hara jika kuasa diberikan pada Barisan Nasional (BN), kerana BN berkawan dengan PAS adalah tuduhan yang sangat tidak betul serta salah. Ini suatu sangkaan jahat daripada seorang Menteri Kerajaan PH,” bidas beliau menerusi kenyataan yang disiarkan menerusi laman Facebooknya, hari ini.

Jelasnya, rekod Malaysia di bawah BN sangat jelas, dengan kecekapan mentadbir yang juga didorong oleh keamanan negara maka Malaysia maju begitu pesat di bawah BN.

“Malah PAS juga mentadbir Kelantan dan Terengganu. Mana ada huru-hara tercetus hingga sekarang. Dalil ini sangat jelas,” katanya.

Justeru tegas beliau, ucapan Salahuddin yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani dalam perjumpaan tertutup tersebut jelas tidak tepat, rasis dan bersifat menghasut.

“Oleh itu pihak berkuasa mesti menyiasat perkara ini dan mengambil tindakan mengikut peraturan yang ada kerana telah mempengaruhi pengundi melalui cara yang salah. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mesti bertindak tegas menghalang kempen berbentuk rasis sebegini.

“Kepada pimpinan PH, berkempenlah secara sihat dan mengikut peraturan yang betul. Jangan lakukan hasutan begini untuk menang. Ini sangat tidak baik,” katanya lagi yang juga Ahli Parlimen Lenggong. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.