PH Tak Pandai Urus Ekonomi, Rakyat Pula Diminta Bersyukur

TANJUNG PIAI, 5 Nov – Bekas Pegawai Khas kepada mantan Menteri Kewangan, Ting Tai Fook membidas menteri kabinet kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang tidak berkeupayaan menguruskan ekonomi negara dengan baik, jauh berbeza ketika era pentadbiran Barisan Nasional (BN).

Sebagai contoh katanya, bagaimana Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dari Dap yang menyalurkan peruntukan yang besar kepada Kementerian Industri Utama, di mana menterinya juga dari Dap, Teresa Kok tetapi harga kelapa sawit tetap tidak naik malah semakin merudum.

“Hari ini, harga sawit sudahlah jatuh, tapi Lim Guan Eng sebagai menteri kewangan tahun lepas bagi (peruntukan) kementerian Teresa Kok, Menteri Industri Utama yang jaga kelapa sawit. Tahun depan Bajet 2020 kementerian Lim Guan Eng meningkatkan bajet untuk Teresa Kok daripada RM500 juta kepada RM670 juta, tapi harga sawit macam mana? Jatuh… dia bagi wang untuk tujuan apa?

“Dalam parlimen dia mengatakan wang ini diberikan kepada Menteri Industri Utama supaya mempromosikan sawit Malaysia. Apa usaha yang Teresa Kok buat? Tiada langsung selain daripada memujuk setiap orang minum satu sudu sawit.

“Itu pun kalau kita mampu kerana satu botol 500ml lebih kurang RM20, kalau berjenama RM100 lebih. Ini bukan untuk B40, M40. Ini untuk T20, orang yang kaya sahaja,” tegasnya di dalam ceramah umum di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Andek Mori, Kukup sempena kempen Pilihan Raya Kecil Parlimen Tanjung Piai, di sini malam tadi.

Hadir sama Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman; Ketua UMNO Bahagian Parit Sulong, Zulkarnain Kamisan dan Ketua Pemuda UMNO Negeri Kelantan, Noor Hariri Mohd Noor.

Ting turut menempelak calon PH bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai, Karmaine Sardini yang menggesa pekebun sawit bersyukur walaupun harga komoditi itu berada di tahap RM270 setan, yang dianggapnya tinggi jika berbanding lebih tiga puluh tahun lalu pernah mencecah di paras bawah RM100 setan.

“Harga sawit sekarang RM270 setan dikatanya tinggi, tetapi dia tidak tahu dalam sejarah pemerintahan BN, paling tinggi adalah sehingga hampir RM800 setan.

“Bila calon PH kata masa dulu pun pernah cecah RM75 setan, itu zaman siapa? Itu zaman Pengerusinya, Tun Dr Mahathir,” tambahnya lagi.

Kerana itulah katanya, rakyat perlu memilih kembali BN dan menguburkan PH bukan sahaja bagi PRK Tanjung Piai malah bagi pilihan raya umum akan datang.

Menyentuh perkara yang berkaitan, bekas Ketua Pemuda MCA Negeri Perak itu juga berkata, partinya tidak mempunyai sebarang masalah dengan agenda Muafakat Nasional.

“Bagi saya tiada masalah bagi MCA dengan Muafakat Nasional. Kita tiada masalah selama 60 tahun.

“Kita tahu orang Cina dapat peluang meniaga dan mengumpul kekayaan. Kekayaan itu datang dari siapa? Dari orang Melayu, orang India.

“Saya masih ingat lagi dulu orang Cina buka kedai runcit, siapa yang melanggan di kedai runcit, siapa yang menjayakan perniagaan… sebab dalam Malaysia kita harus mengakui majoriti pelanggan di Malaysia adalah bumiputera,” ujarnya yang mengucapkan terima kasih kepada BN kerana meletakkan Datuk Seri Wee Jeck Seng sebagai calon BN di dalam PRK Tanjung Piai. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.