PH, Guan Eng Terus Dihantui Penyatuan UMNO-PAS

KUALA LUMPUR, 5 Nov – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menganggap Pakatan Harapan (PH) terutamanya Lim Guan Eng terus dihantui oleh kerjasama penyatuan UMNO dan PAS malah terkini memberitahu masyarakat bukan Islam bahawa mereka akan menghadapi kesengsaraan apabila UMNO dan PAS memerintah.

Sehubungan itu, Mohamad membidas kenyataan tersebut dan menganggapnya seorang yang anti akal, tidak rasional dan tidak waras.

“Kepada Lim Guan Eng, jika pemikiran politik kamu yang jumud menjadi sandaran, makanya Malaysia Baru itu adalah Malaysia yang amat prejudis terhadap Islam dan bangsa Melayu… dan bukannya hanya sekadar bencikan UMNO dan PAS sahaja….

“Kepada seluruh rakyat bukan Islam di Malaysia. Bersaksikan pemerintahan selama lebih enam puluh tahun, UMNO/BN dan PAS adalah pergerakan politik yang rasional, waras dan patuh Perlembagaan,” tegas beliau sebagaimana dalam kenyataan menerusi laman Facebooknya.

Berikut adalah kenyataan penuh beliau:

Pakatan Harapan terutamanya Lim Guan Eng terus dihantui oleh kerjasama penyatuan UMNO dan PAS.

Terkini, beliau memberitahu masyarakat bukan Islam bahawa mereka akan menghadapi kesengsaraan apabila UMNO dan PAS memerintah. Hak dan kebebasan mereka akan terhakis dan dinafikan.

Nyata beliau seorang yang anti akal. Tidak rasional dan tidak waras.

Biar saya ingatkan beliau tentang sedikit sejarah Islam dan orang Melayu. Islam datang ke Nusantara ini bukan melalui peperangan dan penaklukan.
Islam datang secara damai melalui perdagangan. Ia datang melalui usaha gigih para pedagang dan ketakwaan pendakwah dan ahli sufi.

Itulah sebabnya bangsa Melayu menerima Islam. Kerana ia dibawa dengan cara damai dan baik. Tiada langsung unsur penaklukan, pemerintahan yang zalim mahupun penindasan.

Malah sumbangan terbesar Islam kepada dunia Melayu ialah ia membawa aliran pemikiran yang rasional. Yang mengesakan Allah dan bukan menyekutunya dengan apa jua yang lain.

Islam telah memandu pembentukan keperibadian bangsa Melayu dengan indah sekali.

Bangsa Melayu, kerana ajaran Islam, telah menjadi bangsa yang juga sangat damai, rasional, bertolak ansur dan sangat berlumba-lumba melakukan kebaikan.
Orang Melayu itu bukan bangsa yang bengis dan menindas, kerana mereka punyai Islam, yang memberikan kesejukan kepada nurani dan akal budi mereka.
Kerana itu orang Melayu boleh menerima jutaan orang Cina dan India dan menjadikan mereka warganegara, Persekutuan Tanah Melayu. Mengiktiraf, memberikan hak yang saksama dan menjadikan mereka sebahagian dari tanahair ini.

Semoga Lim Guan Eng tidak lupa, bahawa itu semua adalah keputusan berani dan benar pemimpin Melayu dalam UMNO pada waktu itu.

Kepada Lim Guan Eng, biar saya nyatakan bahawa menuduh UMNO dan PAS akan melanggar hak dan menghapus kebebasan golongan bukan Islam dan bukan melayu, jika kami (UMNO/BN dan PAS) memerintah, adalah prejudis yang tersangat sangat jahat terhadap Islam dan bangsa Melayu. Apa lagi kepada UMNO dan PAS.

Berpuluh-puluh tahun UMNO dan PAS berfungsi dalam politik Malaysia yang plural ini. Di era pemerintahan kamilah kekayaan orang Cina itu menjadi sangat luar biasa. Kerajinan bangsa Cina tanpa keadilan pemerintahan UMNO/BN, tidak akan menjadikan mereka berjaya. UMNO/BN lah yang telah mewujudkan pelbagai ‘impetus’ untuk bangsa Cina mencipta kekayaan.

Di era pemerintahan UMNO/BN lah, sekolah vernakular itu subur dan bercambah dan tidak kami ‘nasionalised’kan. UMNO/BN lah yang memelihara identiti sekolah vernakular malah membantu seadilnya.

Ingatlah, di zaman UMNO/BN memerintahlah, telah kami pelihara, hormati dan damaikan semua kaum, menjadi bangsa yang kenal antara satu sama lain dan hidup secara muhibbah. Sehinggalah Malaysia ini menjadi contoh terbaik sebuah negara kesepakatan.

UMNO dan PAS adalah pergerakan politik. Kami ada ideologi kami dan yang lebih penting, kami ada agama. Agama Islam kami itu bukan sekadar solat dan puasa. Ia adalah warna, nadi dan cara hidup kami.

Mana mungkin akan kami zalimi bangsa bukan Islam/bukan Melayu, sedangkan ia ditegah oleh agama kami.

Mana mungkin akan kami nafikan hak kamu sedangkan pemimpin kami yang terdahulu yang telah merangka perlembagaan tanahair ini. Dan selama kami memerintah, kami
menerima, melaksana dan menjunjung keluhuran Perlembagaan itu sebaik-baik usaha kami.

Mana mungkin akan kami tindas akan bangsa bukan Melayu/bukan Islam, sedangkan mereka adalah sebahagian dari kami. Mereka adalah guru kami, rakan sekolah, jiran, sahabat terbaik dan rakan perniagaan kami. Malah ada yang menjadi sang belahan jiwa kami, yang dengan mereka, kami membina rumahtangga, keluarga dan menjadi teman sehidup semati.

Kepada Lim Guan Eng, jika pemikiran politik kamu yang jumud menjadi sandaran, makanya Malaysia Baru itu adalah, Malaysia yang amat prejudis terhadap Islam dan bangsa Melayu… dan bukan nya hanya sekadar bencikan UMNO dan PAS sahaja….

Kepada seluruh rakyat bukan Islam di Malaysia. Bersaksikan pemerintahan selama lebih enam puluh tahun, UMNO/BN dan PAS adalah pergerakan politik yang rasional, waras dan patuh Perlembagaan.

Insya-Allah, jika kami memerintah, Islam itu akan mengalun indah dalam kemajmukan Malaysia. Tiada yang akan disakiti, tiada yang akan dizalimi dan tidak akan juga menindas sesiapa. Kerana politik UMNO dan PAS, diinspirasi kan oleh agama dan kepercayaan rohani kami, bukan hanya cuma sekadar ideologi dan aspirasi sahaja… insya-Allah….

Dato Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan
Timbalan Presiden UMNO