PDRM Harus Siasat Mereka Yang Terlibat LTTE Tanpa Pilih Bulu

 

KUALA LUMPUR, 5 Nov – Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mendesak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menyiasat siapa sahaja yang terlibat dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) tanpa pengira bulu.

Jelas beliau, ini penting demi keselamatan negara dan rakyat negara ini.

“Ada kepimpinan atasan di sebelah sana telah memuat naik kenyataan di media sosialnya menyokong LTTE tetapi telah dipadamkan kononnya tidak ada bukti. Jadi kita minta PDRM melakukan siasatan hingga ke akar umbi.

“Ada juga tokoh diperingkat nasional yang berselindung di sebalik jawatan utama dalam kementerian sebagai penyokong kuat LTTE maka pihak PDRM harus mengambil tindakan tanpa mengira bulu dalam menjaga keselamatan negara ini,” ujar beliau selepas menerima memorandum daripada NGO Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) di hadapan pintu masuk Parlimen hari ini.

Tambah Zahid, dalam hal ini Muafakat Nasional yang terdiri daripada UMNO, PAS dan parti-parti lain sentiasa menyokong tindakan PDRM agar negara ini terus dijaga demi keselamatan negara keseluruhannya.

Hari ini UMMAH membuat demonstrasi di hadapan Parlimen bagi menggesa kerajaan mengambil tindakan terhadap mereka yang terlibat dalam LTTE. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.