Wee Jeck Seng Tepati Citarasa, Rakyat Tanjung Piai Mahu BN Menang

TANJUNG PIAI, 4 Nov – Tindakan Barisan Nasional (BN) menamakan Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng sebagai calon untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) P165 Tanjung Piai dianggap tepat dan bersesuaian dengan citarasa penduduk tempatan.

Bagi Penduduk Kampung Sewok, Mohd Afandi Sulaiman, 45, berkata Dr Wee selaku calon BN adalah yang paling sesuai untuk dinobatkan sebagai ahli Parlimen dan mewakili suara rakyat di kawasan ini.

“PRK ini juga merupakan satu bentuk terjemahan selepas Piagam Muafakat Nasional yang diadakan baru-baru ini, Dr Wee dipilih sebagai calon yang sesuai dan menepati kehendak pengundi-pengundi Tanjung Piai yang sememangnya mengenali beliau.

“Dr Wee adalah seorang calon yang menepati citarasa pengundi Tanjung Piai. Pemilihannya sebagai calon selepas Muafakat Nasional menunjukkan persefahaman parti-parti di dalam BN untuk melaksanakan menjayakan apa yang telah dimeterai dan kita menyokong usaha untuk BN menakluki kembali kerusi Parlimen ini.

“Saya harap Dr Wee menang pada PRK ini dan dapat membawa suara rakyat terutama sekali suara-suara para nelayan dan petani-petani yang tidak terbela sejak Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan,” katanya kepada UMNO-Online.

Terang Afandi lagi, para nelayan dan petani-petani begitu sukar semasa zaman pemerintahan kerajaan PH ini tapi Dr Wee sanggup membantu mereka walaupun bukan lagi wakil rakyat dan BN tewas semasa Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

Sementara itu, Norhayati Yusof, 37, menyambut baik pemilihan Dr Wee sebagai calon PRK Tanjung Piai.

“Ini menunjukkan BN bukannya rasis dan tidak mementingkan diri. Sebagai pengundi saya menerima dengan hati terbuka pucuk pimpinan BN mengesyorkan Dr Wee sebagai calon yang paling sesuai.

“Dr Wee mempunyai banyak pengalaman dan beliau bukannya ‘orang asing’ di Parlimen ini. Beliau pernah menjawat jawatan sebagai Ahli Parlimen selama dua penggal,” ujar pekerja swasta itu lagi.

Jelas Norhayati lagi, Dr Wee pernah juga menjawat jawatan sebagai Timbalan Menteri Belia dan Sukan semasa pentadbiran BN, ditambah pula beliau amat disenangi masyarakat di sini kerana sering membantu rakyat.

Bagi seorang peniaga gerai makan, Azmi Murad, 49, berharap Dr Wee kembali menjadi Ahli Parlimen kerana terbukti beliau seorang wakil rakyat yang cukup menjaga kebajikan rakyat dan boleh menjadi suara mereka di Dewan Rakyat.

“Beliau mempunyai ‘track record’ yang baik di kalangan rakyat di sini. Saya berharap beliau kembali menjadi wakil rakyat kami, bagi membela nasib kami yang semakin dihimpit keperitan hidup sejak kerajaan PH memerintah.

“Sebagai peniaga, memang sangat terkesan pendapatan semakin kurang jauh berbeza kalau nak dibandingkan dua tiga tahun lalu. Mungkin ia kesan daripada hasil pendapatan penduduk-penduduk kampung semakin kurang, harga sawit pun teruk,” tegasnya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.