Tanya Diri Dulu, Masa Jadi Pembangkang Berapa Kali Tipu Peneroka Felda Dan Pekebun Kecil? – Zahid

KUALA LUMPUR, 4 Nov – “Tanya diri dia dulu masa dia jadi pembangkang berapa kali peneroka Felda yang telah ditipu berada juga ditempat yang sama? Sekarang ini peneroka Felda dan pekebun kecil tidak mahu ditipu lagi. Mereka tahu kesengsaraan ini adalah kesengsaraan yang nyata… kesengsaraan yang diberikan oleh kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH),” bidas Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Jelas beliau, peneroka Felda dan pekebun kecil kini sudah sedar bahawa mereka telah ditipu oleh PH semasa kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang lalu.

“Bila kita ambil alih kerajaan, kita akan teruskan apa yang kita lakukan dulu dan memberi tawaran yang lebih baik,” tegas beliau.

Zahid berkata demikian mengulas kenyataan Menteri Industri Utama, Teresa Kok yang menyifatkan protes peneroka Felda dan pekebun kecil di hadapan Parlimen hari ini adalah kurang cerdik dan ia didalangi oleh Ahli Parlimen pembangkang.

Menurut Taresa, tidak ada sebab untuk peladang kelapa sawit mengadakan protes kerana harga sawit sudah naik mencecah RM2,500 setan metrik pada bulan lalu.

Dalam ucapannya pula ketika program makan tengahari bersama peneroka Felda di PWTC, di sini, Zahid berkata, kerajaan hari ini ternyata memperkecil dan meremehkan peneroka Felda pekebun kecil.

Buktinya apabila memorandum yang menjadi suara hati seluruh peneroka dan pekebun kecil diajukan namun tidak pun diterima oleh menteri mahupun timbalannya.

“Setiausaha kementerian pun tidak terima… tapi hanya wakil pegawai kecil dari kementerian berkenaan. Ini memperlihatkan mereka memperkecil dan meremehkan seluruh peneroka dan pekebun kecil. Mereka tidak lagi memberi keutamaan kepada sektor ini.

“Itulah… termakan sangat dengan janji, terpengaruh sangat dengan fitnah, mendengar guruh di langit (air ditempayan dicurahkan)… daripada 54 kawasan Parlimen di Felda, banyak kita kalah. Kita menang 38 sahaja. Kenapa? Sebab terpengaruh… sebab kita termakan fitnah yang akhirnya fitnah yang ditabur itu akan berbalik kepada mereka. Buktinya hari ini bila seluruh peneroka dan pekebun kecil sanggup datang dari seluruh negara untuk menyerahkan memorandum ini,” ujar beliau.

Zahid turut mempersoalkan ‘kehilangan’ Mazlan Aliman yang dulunya begitu lantang memperjuangkan nasib peneroka Felda.

“Mana Mazlan Aliman? Mana dia yang dulu kononnya memperjuangkan peneroka Felda… mana dia? Dia peduli apa… asalkan dia dapat Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) jadi sekarang dia diam sahaja. Dapat datuk pulak tu…,” sindir beliau seterusnya.

Terdahulu peneroka Felda dan pekebun kecil telah berhimpun di hadapan pintu masuk Parlimen bagi menyerahkan memorandum kepada Kementerian Industri Utama.

Mereka yang diwakili oleh Jawatankuasa Pembela Kebajikan Peneroka Dan Pekebun Kecil Pemuda Umno Malaysia (Pembela), Pertubuhan Kebajikan Warga Felda Malaysia (PKWFM), Pertubuhan Generasi Warisan Kebangsaan (Generasi) dan NGO-NGO yang berkaitan mendesak Kementerian yang berkenaan untuk:

1. Membentangkan dan memaklumkan kepada umum berkaitan pelan strategik pengukuhan harga sawit, pasaran dan eksport harga sawit.

2. Menyatakan langkah-langkah segera dan pengurusan krisis jika sekiranya negara India mengambil langkah mengurangkan atau memberhentikan import sawit dari Malaysia.

3. Menyediakan peruntukan khusus bagi membantu meringankan beban Pekebun Kecil dan Peneroka Felda sekiranya harga minyak sawit terus jatuh sehingga aras terendah.

4. Memastikan agar inisiatif tanam semula sawit diberikan semula kepada para pekebun kecil menerusi RISDA dan MPOB

5. Mendesak untuk kerajaan memulihkan hubungan diplomasi antara Malaysia dengan Negara-Negara pengimport sawit. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.