Pengundi Tg Piai Perlu Pilih BN… Peluang Zahirkan Kebimbangan Rakyat
PONTIAN, 4 Nov – Para pengundi di Parlimen Tanjung Piai perlu memilih calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng sebagai wakil rakyat mereka berbanding Pakatan Harapan (PH) yang telah terbukti tidak membela rakyat, tegas Pengarah Jentera PRK BN Tanjung Piai, Datuk Ir. Hasni Mohammad.
Katanya, kerajaan PH hari ini tak rasa bahawa rakyat perlu dibela sebagaimana yang dilakukan oleh BN suatu masa dahulu dengan meletakkan betapa pentingnya kawasan Tanjung Piai dan Daerah Pontian dalam peta pembangunan di samping memasukkan pelbagai perancangan.
“Kerajaan hari ini di Johor sepi-sesepi sepinya, tak ada perancangan yang jelas, tak rasa dibela oleh kerajaan, tak rasa diambil berat oleh kerajaan, maka inilah masanya untuk rakyat bersuara.
“PRK ini adalah sebagai satu referendum… pungut suara rakyat, kita tolaklah calon PH untuk beri kemenangan kepada BN supaya rintihan dan kebimbangan rakyat yang selama ini tentang kos meningkat, peluang pekerjaan hanya janji kosong dan sebagainya dapat disalurkan,” katanya.
Jelas beliau, ramai rakyat di Johor khususnya kawasan ini tertipu dengan peluang perekrjaan yang dijanjikan PH sehingga terpaksa bekerja di Singapura dan bersesak di CIQ setiap hari sedangkan projek Sistem Transit Laju (RTS) Link Johor Bahru-Singapura yang dilakukan oleh BN ditangguhkan.
“Kerajaan hari ini memilih untuk menangguh, melewat-lewatkan perancangan yang dah dibuat oleh BN untuk pembangunan dan kemajuan rakyat sebelum ini, maka cara terbaik untuk menzahirkan rasa tak puas hati adalah melalui kertas undi, nak tunjukkan betapa sihat dan membinanya demokrasi masyarakat di Tanjung Piai ini dengan memilih calon BN.
“BN tak pernah ungkit pun belanja jambatan menghubungi Daerah Pontian ke Johor Bharu bernilai sehingga RM600 juta yang boleh memendekkan perjalanan selama 30 minit kerana kita nak berikan pembangunan kepada rakyat, BN waktu itu rasakan rakyat di Pontian, di Tanjung Piai perlu untuk membangun.”
Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor turut menyentuh berkaitan pelbagai bantuan dan projek yang diisytiharkan kerajaan dalam masa terdekat di Tanjung Piai.
“Rakyat bukan bodoh… rakyat di bawah sana mampu menilai, tak boleh gula-gulakan rakyat, bagi RM14.6 juta pun peruntukan tapi rakyat tahu kenapa peruntukan itu wujud sedangkan dalam ruang yang lebih besar iaitu dalam belanjawan negara nasib nelayan, golongan petani, Felda dan masyarakat luar bandar tidak dibela dan Belanjawan 2020 lebih membela nasib golongan korporat.
“Janganlah persoalkan kebijaksanaan rakyat lebih-lebih lagi pengundi di PRK Tanjung Piai,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi Segmen PRK P.165 Tanjung Piai yang bersiaran dalam isu ‘Kenapa Pilih BN’ malam tadi. Segmen ini telah bersiaran secara langsung menerusi laman Facebook UMNO-Online dengan Datuk Dr Noor Azizan Abdul Majid sebagai moderator.
Bercakap berkaitan pemilihan MCA sebagai calon, Hasni menekankan BN membuktikan bahawa salah satu kekuatan dan kejayaan adalah perkongsian kuasa dan kerjasama.
“Apa diterangkan oleh PH tentang Muafakat Nasional tidak seperti yang berlaku dalam BN, jauh menyimpang seolah-olah mereka merasakan Muafakat Nasional hanya kecenderungan kepada satu-satu kaum tapi tidak begitu.
“Memandangkan sentimen dan gelombang sejak adanya penyatuan ummah dan dalam konteks Muafakat Nasional, mereka (PH) tentunya tak menyangkan BN letakkan calon dari MCA, tapi kita membuktikan bahawa salah satu kekuatan kejayaan negara ini adalah apa yang dilakukan dalam BN, perkongsian kuasa, kerjasama dalam BN, ada MCA dan MIC mewakili kaum-kaum masing-masing dan ini adalah konsep yang amat sesuai untuk terus dijaga dan kita tambah baik,” katanya lagi. – UMNO ONLINE