Muafakat Nasional Jadi Teras Negara, Tak Pinggirkan Mana-mana Kaum – Khaled

TANJUNG PIAI, 4 Nov – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menekankan bahawa Muafakat Nasional walaupun dipelopori oleh orang Melayu Islam namun ia menjadi teras di negara ini dan tidak pernah meminggirkan kaum-kaum lain.

Jelas beliau, UMNO dan PAS mengakui bahawa negara ini adalah bersifat majmuk dan perlu berganding bahu dalam meneruskan memajukan bermasyarakat di negara ini.

“Muafakat Nasional ini adalah satu gerakan perpaduan nasional yang dipimpin oleh UMNO dan PAS sebagai teras utama demi kebaikan dan kemakmuran negara.

“Muafakat Nasional ini berasaskan kepada dua perkara pokok yang mesti wujud iaitu mesti adanya kekuatan politik Melayu Islam dan memastikan supaya kaum-kaum lain bersama dalam memajukan negara,” katanya dalam ceramah umum di bilik gerakan Barisan Nasional (BN) Pusat Daerah Mengundi (PDM) Bandar Pekan Nenas Tengah, di sini, malam tadi.

Turut hadir Calon BN Tanjung Piai, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng; Ketua Wanita UMNO Melaka, Datuk Latipah Omar; Pesuruhjaya PAS Pahang, Syukri Jabar; Penceramah UMNO, Mohd Shukri Shamsuddin, Ketua PDM, Zamri Muin serta penduduk-penduduk Bandar Pekan Nenas.

Bekas Menteri Besar Johor itu menjelaskan apabila UMNO dan PAS bekerjasama dengan sendirinya akan dapat membina kekuatan politik Melayu Islam tersebut.

“Tujuannya supaya dapat berhadapan dengan cabaran yang dihadapi oleh Melayu Islam khususnya supaya dapat memikir dan merangka perkara yang boleh ditangani secara serius, strategi dan radikal.

“Wujudnya kerjasama ini dapat melahirkan kuasa politik Melayu yang dominan dan sangat kuat seperti yang ada pada hari ini.

“Kita mahu memperkukuhkan kedudukan orang Melayu Islam dan tidak menafikan kepentingan serta hak kaum-kaum yang lain di samping memajukan negara,” ujarnya.

Tambahnya lagi, sekarang giliran MCA untuk menunjukkan bahawa parti itu masih mendapat sokongan dan bersama menjayakan Muafakat Nasional.

“Dengan Muafakat Nasional kita akan berjaya mengalahkan Pakatan Harapan … insya-Allah,” tegasnya. – UMNO ONLINE

@umnoonline