Menteri Gagal…! Teresa Kok Gagal Beri Jawapan Geran Bantuan Tanam Semula

 

KUALA LUMPUR, 4 Nov – Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan melahirkan rasa tidak puas hati berhubung jawapan yang diberikan oleh Menteri Industri Utama, YB Teresa Kok mengenai geran bantuan tanam semula.

Menurut beliau bantuan geran tanam semula telah lama dilaksanakan namun menteri mengatakan seolah-olah bahawa ianya baru sahaja diperkenalkan.

“YB Teresa hari ini memberikan jawapan yang saya amat tidak puas hati seolah-olah dia menggambarkan bahawa geran bantuan tanam semula ini baru sahaja dibuat sedangkan sebenarnya seingat saya… sejak saya kecil lagi.

“Sebab keluarga saya menanam semula getah ke sawit semuanya dapat bantuan geran tanam semula. Bantuan tanam semula adalah satu perkara yang amat membantu pekebun kecil getah dan sawit.

“Begitu juga kalau nak tanam semula daripada sawit ke getah atau sebaliknya, ataupun getah ke getah, sawit ke sawit semuanya itu diuruskan oleh Malaysia Palm Oil Board (MPOB),” katanya kepada UMNO-Online, di lobi Parlimen, di sini, hari ini.

Terdahulu sebelum itu, beliau menimbulkan pertanyaan pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2020 oleh Menteri Industri Utama, Teresa di Dewan Rakyat.

Tegas Ahmad, senario hari ini telah berubah kepada kaedah pinjaman dan ianya akan membebankan golongan pekebun kecil.

“Pekebun kecil ini 650,000 di seluruh negara… kelihatan menteri ini ianya tidak faham pun perkara yang berlaku pada saat dan ketika ini. Satu perkara lagi saya tidak puas hati kerana beliau tidak memberikan cadangan yang konkrit untuk meningkatkan harga komoditi lada hitam.

“Saya dah menyebut tadi jawapan yang beliau sendiri berikan kepada soalan saya. Pada 2 April 2018, lada hitam ini satu tan RM11,763 satu tan… ini ketika zaman BN tetapi apabila zaman mereka ini angka data pada 1 Oktober 2019, turun kepada RM7,004 satu tan.

“Bererti lebih RM4,000 turun satu tan harga lada hitam. Mereka kata Pontian mana ada lada hitam… saya nak maklumkan ada beberapa pekebun lada hitam dan saya pun pernah menemui mereka dan pergi ke kebun mereka di Pontian.”

Tambahnya lagi, masalah tersebut akan memberikan kesan kepada pekebun lada hitam seluruh negara khususnya di Sarawak.

“Ramai ahli parlimen Sarawak (GPS) juga menimbulkan tetapi menteri tidak memberikan jawapan yang konkrit bagaimana mahu menaikkan semula harga lada hitam ini. Ada puluhan ribu pekebun kecil lada hitam di seluruh Malaysia terutama Sarawak merasa amat tidak puas hati.

“Kelapa sawit tidak puas hati, getah tidak puas hati, lada hitam tidak puas hati dan pada ketika yang sama kementerian ini menerima peruntukan yang sedikit. Jadi saya tanya adakah peruntukan ini cukup,” ujarnya.- UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.