Giliran Kuasa Rakyat Tanjung Piai Pula Tumbangkan PH – Annuar

TANJUNG PIAI, 4 Nov – Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai merupakan satu peluang kepada rakyat di kawasan tersebut untuk mengikut jejak langkah beberapa siri PRK sebelum ini dengan menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Demikian menurut Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa ketika sesi taqarrub bersama dengan pengundi-pengundi di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Serkat, di sini malam tadi.

“Datang pilihan raya kecil Cameron Highlands kita bagi kalah Pakatan Harapan. Orang Pahang sudah tunjuk kehebatan rakyatnya. Orang Selangor tunjukkan kehebatan rakyat kalahkan (PH) di Semenyih. Orang Negeri Sembilan tunjukkan kuasa rakyat tak takut kepada ugutan, kalahkan kerajaan di Rantau.

“Datang (PRK) di Tanjung Piai sokong kerajaan… tak standard, tapi saya tahu negeri Johor ini negeri yang melahirkan UMNO, perlembagaan dan pemimpin-pemimpin yang meletakkan asas bagi negara yang hendak dipertahankan.

“Maka saya yakin jika dijaga kesatuan, penyatuan dan kefahaman politik kita, pilih bukan soal calon-calon yang ada di hadapan tetapi kita pilih dia (calon) memegang dasar, kerajaan dan parti apa dibawanya. Tak kira siapa, kalau bersubahat dengan Dap, liberal dan bercanggah dengan dasar kita, kita wajib menurunkan (mengalahkan),” tegasnya.

Sebelum sesi taqarrub, turut diadakan majlis bacaan yasin untuk bekas Ahli Parlimen Tanjung Piai, Allahyarham Datuk Dr. Md Farid Md Rafik, 42, dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri meninggal dunia di Hospital Pontian akibat serangan jantung pada Sept lalu.

Pada PRK Tanjung Piai pada 16 November ini menyaksikan pertembungan enam penjuru antara Barisan Nasional (BN) dengan calonnya, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng, PH Karmaine Sardini, Gerakan Wendy Subramaniam, Berjasa Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz dan dua dari Bebas, Dr Ang Chuan Lok serta Faridah Aryani Abdul Ghaffar.

Annuar juga menjelaskan bahawa orang Islam tidak boleh menanam kebencian semata-mata kerana kaum dan setinggi manapun semangat Melayunya tidak boleh membenci kaum lain.

“Allah melarang orang Islam membenci atas dasar kaum. Kita tubuh UMNO serentak dengannya terus ikat persaudaraan dengan MCA dan MIC.

“Islam benarkan bekerjasama dengan pelbagai agama dan kaum. Kita merdekakan negarapun secara bersama,” ujarnya lagi.

Dalam sesi penerangan tersebut, Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata momentum kejayaan menumbangkan kerajaan PH hendaklah bermula daripada siri-siri PRK sebelum menempuh di Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti, umpama pasukan bola sepak yang layak ke peringkat akhir mesti memenangi beberapa siri perlandingan di peringkat kumpulan. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.