PRK Tg Piai: Rakan Komponen Dan Muafakat Nasional Sepakat, Tekad Menangkan BN

TANJUNG PIAI, 3 Nov – Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan berpandangan Barisan Nasional (BN) memperlihatkan komitmen yang tinggi dalam merealisasikan agenda Muafakat Nasional.

Ini katanya, berdasarkan keputusan BN meletakkan pemimpin dari MCA, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng sebagai calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.

“Apabila BN mencalonkan Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng dan ini menunjukkan komitmen BN adalah konsisten dan juga menunjukkan kepada warga Malaysia bahawa kemuafakatan nasional adalah relevan.

“BN tidak menganaktirikan mana-mana kaum di Malaysia, dan ini memberi jaminan bahawa mereka tidak terpinggir atau tercicir,” katanya kepada UMNO Online, ketika ditemui di hari penamaan calon di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Pontian semalam.

Tambahnya, dalam konteks masyarakat India, kini sokongan kaum tersebut kepada BN khususnya di Johor meningkat secara keseluruhannya akibat kerajaan Pakatan Harapan (PH) gagal menunaikan janj-janji.

“Masyarakat India merasa tertipu dengan berbagai-bagai janji politik PH semasa Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu, maka kini mereka (India) sudah menyedari kesilapan akibat salah memilih pemimpin.

“PH telah memberikan pelbagai janji, sebagai contoh sekolah-sekolah Tamil tiada pembangunan dan begitu juga pertubuhan-pertubuhan masyarakat India, rumah ibadat, keperluan pekerjaan dan sebagainya,” kesalnya yang melihat masyarakat India dianaktirikan oleh PH.

Saravanan juga berkata pengundi masyarakat India adalah kumpulan minoriti yang terdapat di Tanjung Piai iaitu hanya sebanyak dua peratus sahaja.

Manakala bagi Ketua Pemuda MCA, Nicole Wong Siaw Ting mengharapkan masyarakat Tanjung Piai dapat mengembalikan semula BN memegang kerusi Parlimen.

Katanya, Dr Wee adalah calon yang paling sesuai mewakili suara rakyat.

“Sudah sampai masanya BN dapat merampas kembali Parlimen ini.

“Pilihlah pemimpin yang boleh membawa suara rakyat ke Dewan Rakyat,” gesanya.

Tambah Nicole, suara rakyat amat penting dan akan diketengahkan dengan mesej yang jelas oleh wakil Ahli Parlimen ke Dewan Rakyat.

Bagi Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad pula berkata pemilihan Dr Wee sebagai calon BN untuk menjawab segala fitnah yang dilemparkan oleh mereka yang benci kepada agenda penyatuan ummah.
“Pakatan Muafakat Nasional adalah untuk menjawab segala tohmahan yang ditohmahkan oleh pihak PH. UMNO-PAS telah menandatangani piagam itu.

“Muafakat Nasional ini bukannya bersifat rasis dan disebabkan itu BN mencalonkan Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng bertanding,” katanya.

Idris yang juga bekas Ahli Parlimen Bukit Gantang mengatakan bahawa PAS dalam komponen Gagasan Sejahtera bersetuju untuk membantu calon BN demi Muafakat Nasional.

“Kerajaan PH sebenarnya berusaha menghasut rakyat mengatakan Muafakat Nasional ini satu gabungan rasis dan cuba menakut-nakutkan kaum-kaum lain.

“Harapan PAS agar rakyat dapat memberikan kepercayaan sepenuhnya dan memastikan satu suara pembangkang bertambah di Parlimen bagi ‘check and balance.” ujarnya lagi.

Dalam masa yang sama, Idris berharap PRK Tanjung Piai berjalan dengan lancar mengikut lunas undang-undang negara di mana parti kerajaan seharusnya tidak menyalahguna jentera kerajaan di dalam berkempen.

Sementara itu Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM) Datuk Huan Cheng Guan juga memberi komitmen partinya akan membantu BN bagi memenangi PRK Tanjung Piai ini.

Serunya, mana-mana rakyat Malaysia yang tidak setuju dengan PH dan kecewa maka jalan terbaik adalah dengan mengundi BN.

“Sejak PH menang segala manifestonya tidak ditunaikan dan kebanyakan manifestonya adalah tipu. Tapi sekarang ini rakyat sudah sedar dan tahu pembohongan PH.

“Ada juga menteri-menteri dari PH ‘kong kali kong’ …kerja pun tak tahu nak buat, tetapi semasa PH menjadi pembangkang dahulu, cakap mereka (PH) nombor satu tapi sudah dibagi jawatan, faham-faham sajalah apa yang mereka lakukan.

“Ahli Parlimen PH selalu ponteng (Dewan Rakyat) maka rakyat yang susah,” bidasnya.

Dalam perkembangan yang sama, Presiden KIMMA, Senator Datuk Seri Syed Ibrahim Kader menjelaskan partinya sudah mempersiapkan jentera untuk meraih undi khususnya India Muslim.

Jelas beliau, KIMMA juga sudah mempersiapkan segala program untuk membantu kemenangan berpihak kepada BN.

“KIMMA sudah mengaturkan program-program bersama masyarakat Tanjung Piai untuk BN meraih undi dari rakyat.

“Rakyat sudah melihat apa yang berlaku sekarang dan BN dapat faedah dari ketidakbijaksanaan pemimpin PH mentadbir negara. Kami tidak suka dalam keadaan sekarang ini dan kami harap BN dapat mengambil balik pentadbiran negara,” ujarnya lagi. – UMNO ONLINE